Kredit Gambar: MSN Malaysia
Sukan Komanwel Glasgow 2026 membuka tirainya secara rasmi awal pagi tadi menerusi upacara pembukaan yang berlangsung penuh gilang-gemilang di The Hydro, sekali gus menandakan bermulanya saingan melibatkan lebih 3,000 atlet dari 74 negara dan wilayah Komanwel.
Upacara bersejarah itu menjadi edisi pertama dianjurkan sepenuhnya di dalam sebuah arena tertutup, selari dengan konsep Glasgow 2026 yang lebih kompak serta memberi tumpuan kepada pengalaman atlet sepanjang temasya berlangsung.
Majlis perasmian disempurnakan Raja Britain, Raja Charles III selepas baginda membacakan mesej yang dibawa menerusi King Baton, sementara persembahan pembukaan menampilkan gabungan elemen sejarah, budaya dan seni Scotland menerusi persembahan muzik, teater serta penyertaan kira-kira 600 sukarelawan.

Majlis perasmian disempurnakan Raja Britain, Raja Charles III selepas baginda membacakan mesej yang dibawa menerusi King Baton. (Kredit Gambar: MSN Malaysia)
Kontinjen Malaysia pula diketuai jaguh lompat jauh para dan juara Paralimpik dua kali, Datuk Abdul Latif Romly yang diberi penghormatan membawa Jalur Gemilang ketika perarakan masuk, manakala pemain boling padang nombor satu dunia, Emma Firyana Saroji, menggalas tugas sebagai pembawa King Baton Malaysia.

Seramai kira-kira 40 atlet negara menyertai perbarisan itu dengan mengenakan busana batik bercorakkan Jalur Gemilang dan motif bunga raya, sekali gus menyerlahkan identiti Malaysia di pentas antarabangsa.
Bagi edisi kali ini, Malaysia mempertaruhkan 59 atlet termasuk 22 atlet para yang akan bersaing dalam lapan jenis sukan dengan sokongan 45 pegawai kontinjen.
Kontinjen negara meletakkan sasaran membawa pulang lima pingat emas, dua perak dan empat gangsa menerusi acara angkat berat, berbasikal trek, boling padang, judo, powerlifting para dan olahraga para.

Upacara bersejarah itu menjadi edisi pertama dianjurkan sepenuhnya di dalam sebuah arena tertutup.
Glasgow kembali menjadi tuan rumah Sukan Komanwel buat kali kedua selepas edisi 2014, dengan temasya kali ini mempertandingkan 10 jenis sukan serta enam sukan para bersepadu di empat venue sehingga 2 Ogos.
Saingan sebenarnya sudah pun bermula lebih awal menerusi acara boling padang dan boling padang para, dengan pemain boling padang negara, Izzat Shameer Dzulkeple, muncul sebagai atlet Malaysia pertama memulakan cabaran pada temasya kali ini.