MAJLIS Olimpik Malaysia (MOM) memuji Persatuan Wushu Malaysia (WFM) atas pencapaian luar biasa di Kejohanan Dunia ke-17 di Brasilia, Brazil.
Skuad negara menghadiahkan kutipan terbaik sepanjang zaman dengan lima emas, satu perak dan dua gangsa hasil persembahan lapan atlet negara.
Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria menyifatkan kejayaan itu bukan sahaja bersejarah, malah bukti hala tuju pembangunan wushu negara semakin matang.

Tan Sri Mohamad Norza Zakaria gembira dengan pencapaian atlet wushu negara.
“Ini pencapaian membanggakan buat Malaysia dan kita mengiktiraf kepimpinan WFM yang berjaya membawa sukan ini ke tahap tertinggi,” katanya dalam kenyataan yang di kongsi di laman Facebook MOM.
Beliau turut memuji Presiden WFM, Datuk Dr Chong Kim Fatt atas dedikasi sejak mengambil alih tampuk kepimpinan pada 2018.

Di bawah pimpinannya, wushu negara berjaya meraih emas sulung di Sukan Universiti Dunia 2023 dan emas pertama Sukan Dunia 2025 sebelum mencipta kejayaan lima emas bersejarah di Brasilia.
Lebih manis, kejayaan di pentas dunia itu mengatasi rekod lama empat emas pada edisi 2005 dan 2013.
Norza menegaskan pencapaian ini membuktikan kerjasama sektor awam dan swasta mampu melahirkan lebih ramai juara dunia pada masa depan.