AKSI mantap dan penuh semangat ditampilkan beregu lelaki kebangsaan, Man Wei Chong-Tee Kai Wun apabila mencipta kejutan menyingkirkan gandingan nombor dua dunia, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dalam pertembungan suku akhir Masters Malaysia 2025, sebentar tadi.
Turut cemerlang, beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah yang menafikan kebangkitan pasangan Indonesia, Febriana Dwipuji Kusuma-Amallia Cahaya Pratiwi dalam aksi kira-kira setengah jam.
Memulakan hari penuh makna baut peminat badminton tanah air di Axiata Arena, Wei Chong-Kai Wun tampil dengan permainan agresif dan pantas namun tidak mudah buat mereka apabila Sze Fei-Izzuddin yang juga pilihan kedua kejohanan terlebih dahulu mencuri set pembukaan 21-19.
Tersentak dengan keputusan itu, anak didik Rexy Mainaky itu menekan lawan senegara yang lebih senior, dengan permainan kemas dan aksi lebih pantas merampas set kedua 21-7 sebelum mengakhirinya dengan kemenangan 21-16 dalam set penentuan.
“Hari ini kami main agak baik juga sebab di set pertama kami mendahului, tapi lepas tu kalah. Di set kedua dan ketiga, kami dapat pulihkan semula permainan dan itu yang penting. Fizikal pun tak penat sangat sebab tak banyak rali,” ujar Wei Chong sambil tersenyum ketika ditemui media.
Di separuh akhir esok, cabaran lebih getir menanti apabila Wei Chong-Kai Wun bakal berentap dengan pilihan dari Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi yang menundukkan gandingan China, Liang Wei Keng-Wang Chang dengan keputusan mudah 21-10, 21-13.
Sementara itu, Pearly dan Thinaah menganggap, perlawanan separuh akhir berdepan gandingan China, Jia Yi Fan-Zhang Shu Xian menjadi ujian sebenar mereka, namun beraksi di hadapan penyokong sendiri memberi kelebihan buat naib juara 2023 itu.
“Saya rasa, kami hanya nak fokus corak permainan sendiri, kita yakin dengan permainan sendiri… beraksi di laman sendiri membuatkan kami sentiasa bermotivasi,” kata Pearly.