INSIDEN yang menimpa beregu lelaki muda negara Aaron Tai-Kang Khai Xing dalam aksi pusingan kedua Perodua Malaysia Masters semalam, disifatkan sebagai perkara normal kepada pemain badminton, terutamanya dari negara Asia.

Soh Wooi yik berkata, mereka sebagai pemain perlu mengatasi situasi itu daripada menjadi tekanan kepada diri sendiri, jika mahu mendapatkan keputusan yang diinginkan.

“Apa berlaku semalam (isu pengadil bias) tidak memberi kesan sangat kepada saya dan Aaron untuk memenangi perlawanan hari ini, tapi saya tahu perkara itu sentiasa berlaku kepada pemain terutamanya dari Asia, sangat ketara,” kata Wooi Yik, selepas menempah tiket ke separuh akhir beregu lelaki.

Malah, Aaron berkata, mereka hanya mengekalkan diri untuk menikmati setiap perlawanan tanpa memikirkan perkara lain di luar gelanggang.

Pada aksi suku akhir menentang Rasmus Kjaer-Frederik Sogaard dari Denmark yang mengatasi Aaron-Khai Xing semalam, beregu nombor tiga dunia Aaron-Wooi Yik tiada masalah menyingkirkan lawan dalam aksi 36 minit.

Pemain harapan negara itu menang 21-10, 21-19 dan menempah pertemuan dengan pasangan nombor satu dunia, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen dari Denmark.

Berdasarkan rekod, gandingan negara menang lapan daripada 12 pertemuan termasuk yang terakhir pada penentuan pingat gangsa Olimpik Paris tahun lalu.

“Esok adalah cerita berbeza, kami akan berikan yang terbaik… saya tidak kisah menang atau kalah kerana lebih penting adalah bagaimana kami mengawal permainan sendiri,” kata Wooi Yik.