PENGENDALI Harimau Malaya, Peter Cklamovski meluahkan rasa bangga selepas skuad bimbingannya mencipta kejutan dengan menewaskan Palestin 1-0 pada aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Sultan Ibrahim (SSI). Kejayaan itu hadir menerusi jaringan tunggal Joao Figueiredo yang muncul wira negara, sekali gus menundukkan pasukan ranking ke-98 dunia.
Walaupun diasak hebat jentera serangan Singa Kanaan, benteng negara yang diketuai Shahrul Saad tampil cukup kental mempertahankan kelebihan sehingga tamat perlawanan. Ia turut memastikan Malaysia mencatat aksi tanpa bolos buat kali ketiga dalam lima perlawanan di bawah kendalian Cklamovski.
“Kredit kepada semua pemain kerana kekal dengan pelan permainan, bermain bola sepak yang bagus dan mencipta peluang. Kita mahu lebih banyak peluang dan gol, tapi inilah bola sepak. Saya bangga bila mereka bertahan kuat pada minit akhir menentang pasukan yang bagus seperti Palestin,” katanya selepas perlawanan.

Jurulatih kelahiran Australia itu menegaskan semangat juang tinggi anak buahnya menjadi kunci utama kejayaan, terutama ketika berdepan tekanan lawan yang memburu gol penyamaan. Baginya, kesungguhan bertahan hingga wisel penamat membuktikan kematangan pasukan semakin meningkat.
Kemenangan itu turut melonjakkan ranking semasa Malaysia ke kedudukan ke-120 dunia berdasarkan kemas kini masa nyata FIFA, sekali gus meningkatkan keyakinan menjelang aksi kelayakan Piala Asia 2027 pada Oktober depan.
Harimau Malaya dijadual berdepan Laos di Vientiane pada 9 Oktober sebelum melayan kunjungan lawan sama di Malaysia pada 14 Oktober, dengan kemenangan berdepan Palestin dilihat sebagai tonik berharga untuk meneruskan momentum positif.