KARAKTER kental dan semangat juang tinggi pemain menjadi senjata utama skuad Harimau Malaya B-17 untuk bangkit mara ke separuh akhir Kejuaraan B-17 ASEAN 2026, meskipun berdepan pelbagai cabaran sejak awal kejohanan.
Ketua jurulatih negara, Muhammad Shukor Adan menyifatkan kekuatan mental pemain sebagai faktor paling menonjol, terutama kemampuan mereka bangkit selepas permulaan sukar dalam kejohanan.
“Perkara paling menarik tentang pasukan ini adalah bagaimana mereka ‘comeback’, serta karakter pemain yang tidak berputus asa, khususnya dari segi disiplin bertahan,” katanya.
Menurutnya, kejayaan melangkah ke separuh akhir bukan sesuatu yang mudah, apatah lagi pemain terpaksa mengharungi jadual perlawanan mencabar termasuk aksi berintensiti tinggi menentang pasukan tuan rumah, Indonesia sebelum ini.
Shukor turut mengakui pasukan berdepan kritikan hebat selepas kekalahan 0-4 kepada Vietnam pada perlawanan pembukaan, namun situasi itu dijadikan pemangkin untuk memperbaiki kelemahan.
“Kita tahu kita berada dalam kumpulan maut bersama Vietnam dan Indonesia. Tetapi selepas kekalahan itu, fokus kami adalah untuk bangkitkan semula mental dan fizikal pemain,” katanya.
Shukor menjelaskan, skuad kali ini juga terdiri daripada pemain muda, termasuk yang berusia 15 tahun, sekali gus menjadikan kejohanan ini sebagai platform pembelajaran penting buat mereka.
“Ramai pemain ini pertama kali beraksi di peringkat antarabangsa. Perlawanan menentang Vietnam adalah proses pembelajaran untuk mereka,” katanya.
Namun, beliau memuji kemampuan pemain bangkit dengan penuh keyakinan apabila berjaya menewaskan Indonesia, sekali gus menghidupkan peluang ke peringkat seterusnya.
“Saya sangat hormat bagaimana mereka bangkit semula dengan karakter yang kuat. Itu menunjukkan mentaliti mereka semakin matang,” jelasnya.
Skuad negara bakal berdepan Laos dalam perlawanan separuh akhir di Gelora Delta Sidoarjo, Indonesia pada Rabu jam 4:30 petang waktu Malaysia.
Sumber Gambar: FB FAM