INILAH yang dikatakan setiap kejayaan ada labanya apabila beregu campuran negara Chen Tang Jie-Toh Ee Wei yang diraikan dengan insentif berjumlah RM125,000.

Insentif daripada Senheng Malaysia itu bakal menyaksikan, Tang Jie menerima wang tunai RM100,000 manakala Ee Wei membawa pulang produk elektronik bernilai RM25,000.

Ganjaran tersebut bakal disampaikan Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Urusan Senheng, Lim Kim Heng pada majlis khas yang akan berlangsung di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Khamis ini.

Menurut kenyataan yang diedarkan, Tang Jie menerima habuan lumayan itu disebabkan pemain terbabit pernah menerima biasiswa Program Biasiswa SS Junior Badminton Talent anjuran Senheng dan Samsung pada 2012.

Biasiswa itu lahir daripada visi bersama pengasas Kelab Petaling Badminton, Datuk Jack Koh, yang mahu melahirkan juara dunia dari program akar umbi.

Visi tersebut terbukti berhasil apabila Aaron Chia-Soh Wooi Yik muncul juara dunia pertama Malaysia pada 2022 sebelum legasi diteruskan Tang Jie-Ee Wei tahun ini.