POLEMIK tuntutan ganjaran atlet para negara, Cheah Liek Hou akhirnya terjawab selepas Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) menegaskan tiada sebarang penggantungan terhadap pemenang pingat emas dua Temasya Paralimpik itu.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, pihaknya telah mengadakan perbincangan dengan MPM mengenai isu terbabit.
“Bagaimanapun, MPM akan mendapatkan penjelasan lanjut daripada Liek Hou berhubung kekeliruan membabitkan penggunaan istilah “scam” yang mencetuskan kekeliruan baru-baru ini,” kata Hannah menerusi kenyataan yang dikongsi di Facebooknya hari ini.
Katanya, bagi mengelakkan salah faham pada masa depan, semua ganjaran akan disertakan dengan template bertulis seperti diamalkan dalam program Road To Gold (RTG).

Langkah itu sekali gus diharap dapat memastikan ketelusan dan kejelasan setiap makluman ganjaran yang diberikan kepada atlet negara.
Dalam masa sama, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menegaskan komitmen mereka untuk terus memberi sokongan agar atlet dapat memberi tumpuan penuh kepada latihan dan pertandingan.
Malah, penghargaan turut diberikan kepada pihak swasta yang tampil menghubungi pejabat KBS untuk menambah ganjaran kepada lima pemenang pingat Paralimpik Paris 2024.