TEMASYA Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor akan berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos 2026, manakala Para SUKMA dijadualkan menyusul dari 5 hingga 14 September tahun sama.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, tarikh rasmi itu diputuskan selepas beliau mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengelola Induk SUKMA, hari ini.

“Majlis pelancaran logo, maskot dan tema rasmi SUKMA serta Para SUKMA 2026 akan kita adakan pada 15 Ogos ini, sebagai simbolik setahun sebelum kejohanan,” katanya.

Menurut Amirudin, pembukaan SUKMA Selangor akan dilangsungkan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), manakala majlis penutup akan diadakan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

“Bagi Para SUKMA, kita akan umumkan tarikh dan lokasi rasmi majlis pembukaan serta penutup pada bulan September nanti,” katanya.

Sebanyak 28 sukan teras dan lima sukan pilihan akan dipertandingkan membabitkan sembilan daerah serta 12 pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh Selangor, sementara acara berbasikal trek diadakan di Velodrom Nasional, Nilai.

“Kita pecahkan gelanggang ke daerah-daerah supaya mereka tidak perlu merentas ke daerah lain, dan tumpuan utama kekal di Klang dan Petaling; penting juga penglibatan daerah lain agar tidak mengganggu keseluruhan trafik,” katanya.