PENGENDALI skuad futsal kebangsaan, Rakphol Sainetngam tanpa berselindung menyifatkan perlawanan menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) merupakan antara 40 minit paling tegang dan mendebarkan dalam kariernya.

Malaysia bermula dengan langkah kanan setelah menundukkan UAE 1-0 dalam kempen kelayakan Piala Asia Futsal 2026 pada Sabtu, tetapi dikerah menunggu sehingga dua minit sebelum tamat untuk Awalluddin Mohd Nawi menjaringkan gol tunggal perlawanan.

Penyudah dramatik bukan sahaja menyaksikan SUKPA berpesta, tetapi melegakan Rakphol yang tidak senang duduk sepanjang perlawanan.

“Gila, sangat gila, kedua-dua pasukan boleh memenangi perlawanan ini, ia begitu sengit dan saya perlu tabik pemain kita dengan apa mereka berikan untuk tiga mata ini.

“Saya tidak boleh meminta lebih, mereka bermain dengan hati, berlari tanpa henti, bertahan dengan berani, menyerang dan mencipta peluang, tetapi sukar menembusi tembok kebal UAE.

“Ada ketika memang kita sedikit goyah terutama di awal perlawanan, namun, kerja keras, disiplin, focus dan kesabaran akhirnya diberi ganjaran dengan gol kemenangan. Semua pemain adalah hero kita pada malam ini,” ujar Rakphol.

Pengendali dari Thailand itu turut memberi kredit kepada penyokong tempatan menjadi faktor tambahan yang membakar semangat pasukan.

“Saya akui inilah magis SUKPA, terima kasih kepada penyokong di sini (Pahang) dan Malaysia. Sorakan mereka membuatkan pemain tidak pernah rasa penat dan mahu memberikan lebih. Inilah kelebihan Malaysia – kita bermain dengan semangat rakyat di belakang kita,” katanya.

Malaysia selepas ini akan berdepan Bangladesh pada Isnin, dan satu lagi kemenangan akan meletakkan peluang skuad negara untuk layak ke Piala Asia dalam kedudukan yang tinggi.

 

Sumber: Muhammad Aiman