IMPIAN beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei untuk merangkul kejuaraan di Masters China lebur selepas tewas di final.
Pasangan ranking ketiga dunia itu tunduk kepada beregu Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran yang menghuni ranking keempat dunia dengan keputusan 8-21, 17-21.
Aksi di Shenzhen Arena menyaksikan Tang Jie-Ee Wei gagal menemui rentak pada set pertama apabila ketinggalan jauh sebelum menyerah mudah 8-21.
Memasuki set kedua, gandingan negara cuba memperkemaskan corak permainan namun masih belum cukup untuk mengekang keampuhan lawan.
Pertarungan hanya bertahan selama 35 minit apabila Dechapol-Supissara menutup kemenangan straight set tanpa banyak tentangan.
Rekod pertemuan juga semakin memihak kepada beregu Thailand yang kini menang empat daripada lima aksi menentang wakil negara.
Sebagai naib juara, Tang Jie-Ee Wei tetap membawa pulang hadiah wang tunai bernilai AS$42,250 (RM177,745).