PENGADIL Futsal Fifa dari Malaysia, Nurul Atikah Janah mengharumkan nama negara apabila telah dipilih sebagai pengadil utama pada aksi final Kejuaraan Futsal Kelab AFF 2023 di antara kelab Thailand, Hongyen Thakam dan wakil Indonesia, Black Steel FC di Terminal 21 Korat, Nakhon Ratchasima, Thailand pada Ahad.

Atikah, 30 mengadili perlawanan bersama-sama pengadil Nguyen Thanh Huynh dari Vietnam yang menyaksikan Black Steel FC muncul juara selepas menang 4-3 menerusi penentuan sepakan penalti apabila kedua-dua pasukan terikat seri 1-1 dalam masa sebenar perlawanan.

Kejohanan tahunan yang melibatkan enam wakil kelab Asean itu menyaksikan Malaysia diwakili Pahang Rangers yang mengakhiri kempen di tangga keempat selepas tewas 3-0 kepada kelab Vietnam, Thai Son Nam pada penentuan tempat ketiga.

 

Apa yang lebih membanggakan, ini adalah kali pertama dia mengadili perlawanan futsal antarabangsa dengan lencana Pengadil Futsal Fifa dan antara pengadil wanita yang dipilih mengadili kejohanan lelaki.

Selain aksi final, Atikah turut mengadili dua lagi perlawanan di peringkat kumpulan iaitu antara wakil Myanmar, Victoria College University dan Hongyen Thakam dal Kumpulan A serta perlawanan Kumpulan B di antara Football Victoria Australia menentang Black Steel FC.

Semoga kejayaan Atikah ini bakal menjadi titik tolak untuk Malaysia menghasilkan lebih banyak pengadil bertaraf antarabangsa yang secara langsung dapat meningkatkan mutu pengadilan dalam Liga Premier Futsal Kebangsaan (MPFL).