CHEAH Liek Hou tetap perlu memberi penjelasan berhubung kenyataannya di media sosial yang berasakan dirinya di ‘scam’, setelah isu ganjaran memenangi pingat di Sukan Paralimpik Paris, berlarutan selama setahun.

Begitupun, dia boleh menarik nafas lega apabila Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) tidak akan mengenakan sebarang penggantungan terhadapnya.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata keputusan itu dicapai selepas pertemuannya dengan Presiden MPM, Datuk Seri Megat D. Shariman Zaharuddin, semalam.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh akan mengumumkan penaja baharu yang mahu menyumbang insentif kepada pemenang pingat di Sukan Paralimpik Paris tahun lalu.

“Saya percaya Liek Hou mampu memberi penjelasan mengenai hantaran Instagramnya, dan bagi saya isu ini bukan perkara disiplin,” kata Hannah ditemui pada Seminar KLAS Karate di City Meridian Convention Centre.

Katanya, isu itu sudah berlarutan hampir setahun dan jika bukan Liek Hou yang bangkitkan, pasti atlet lain juga akan mengajukan soalan sama.

MPM sebelum ini menjelaskan kelewatan itu berpunca daripada penarikan diri penaja selain menafikan jumlah ganjaran yang disebut atlet terbabit.

Dalam masa sama, Hannah mengakui ada sinar baharu apabila beberapa penaja swasta tampil menawarkan ganjaran tambahan kepada lima pemenang pingat Paralimpik Paris 2024.