KEKALAHAN beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei di final Masters China bukan berpunca daripada kecederaan atau lambat panas, sebaliknya taktikal yang gagal menjadi.

Pasangan ranking ketiga dunia itu tunduk 8-21, 17-21 kepada gandingan Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran yang tampil lebih kemas dari segi strategi.

Tang Jie mengakui mereka cuba menyesuaikan diri secepat mungkin tetapi lawan memulakan perlawanan dengan sangat baik dan menyukarkan usaha mereka bangkit.

“Tidak, saya rasa ia cuma tentang taktik… mereka bermain dengan sangat baik dari segi strategi dan pergerakan mereka, jadi kami akan analisis semula video untuk menyesuaikan diri,” kata Tang Jie kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Ee Wei juga mengakui, masalah kecederaan belakangnya bukan punca kekalahan, sebaliknya teknik dan taktikal mereka tidak menjadi ketika berada di gelanggang.

“Bila kami masuk gelanggang, tiada alasan untuk kecederaan… saya rasa teknik kami hari ini tidak menjadi, itu masalah utamanya,” katanya.

Meskipun tewas, Ee Wei menolak tekanan status juara dunia sebaliknya menganggap ia pengalaman untuk terus belajar daripada pemain tahap tertinggi.