Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menyeru semua penganjur kejohanan dan perlawanan bola sepak di seluruh negara supaya memperketatkan aspek keselamatan susulan insiden dipercayai akibat sambaran petir yang mengorbankan seorang pemain ketika aksi persahabatan di Melaka, Ahad lalu.
Menerusi satu kenyataan media, Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman, turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang meninggal dunia dalam kejadian melibatkan perlawanan antara Rembau Indian Veteran FC dan Tanjung Minyak FC di Padang Kompleks Rakan Muda Lendu.
Menurut beliau, badan induk bola sepak negara memandang serius kejadian berkenaan dan berharap semua pihak memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar insiden tersebut.
FAM turut mengingatkan bahawa faktor keselamatan perlu sentiasa menjadi keutamaan dalam setiap penganjuran perlawanan, sambil menyeru semua persatuan bola sepak negeri, kelab, akademi dan penganjur memantau keadaan cuaca sebelum serta sepanjang perlawanan berlangsung.
Dalam masa sama, FAM menggalakkan penggunaan Sistem Pengesan Kilat (Lightning Detection System) di venue pertandingan kerana teknologi itu mampu mengesan aktiviti kilat secara masa nyata serta memberikan amaran awal kepada pegawai pertandingan bagi membantu membuat keputusan berkaitan keselamatan.
Noor Azman menegaskan bahawa keputusan menangguhkan atau menghentikan perlawanan atas faktor keselamatan tidak seharusnya dianggap sebagai kelemahan pengurusan, sebaliknya merupakan langkah bertanggungjawab demi melindungi semua individu yang berada di venue.
“Tiada perlawanan yang lebih penting daripada nyawa dan keselamatan semua yang berada di venue,” katanya.
Beliau turut memaklumkan FAM akan mendapatkan laporan penuh daripada Persatuan Bolasepak Melaka (PB Melaka) serta pihak penganjur bagi meneliti kronologi kejadian dan tindakan yang telah diambil, sebelum mengenal pasti penambahbaikan yang boleh dilaksanakan dalam aspek pengurusan keselamatan perlawanan.
Mengakhiri kenyataannya, FAM menyeru semua pihak agar sentiasa mematuhi prosedur keselamatan yang ditetapkan serta meletakkan keselamatan pemain, pegawai perlawanan, petugas dan penonton sebagai keutamaan dalam setiap aktiviti bola sepak di negara ini.