KEJOHANAN Johor 7s 2026 melabuhkan tirainya dengan penuh meriah apabila pasukan dari Thailand, All For One muncul juara kategori lelaki, manakala E.C.M.R Singapore menjuarai kategori wanita selepas aksi final yang berlangsung di Stadium Ragbi Johor, Mount Austin.
Dalam saingan kategori lelaki, All For One membuktikan keunggulan mereka apabila menewaskan Malaysia University 19-5 dalam perlawanan akhir yang berlangsung sengit. Kedua-dua pasukan mempamerkan aksi bertenaga, namun wakil Thailand itu lebih tajam memanfaatkan peluang untuk memastikan gelaran menjadi milik mereka.
Bagi kategori wanita pula, E.C.M.R Singapore tampil cemerlang untuk menundukkan Singapore Development 20-5, sekali gus menutup kempen dengan rekod membanggakan selepas aksi konsisten sejak peringkat kumpulan.

E.C.M.R Singapore tampil cemerlang untuk menundukkan Singapore Development 20-5, sekaligus memenangi Cup bagi kategori Wanita.
Selain perebutan kategori Cup, saingan lelaki turut menyaksikan SSTMI Tsunami muncul juara Plate selepas seri 12-12 dengan Red Panthera sebelum ditentukan menerusi perbezaan mata.
Singapore Development pula menjuarai kategori Bowl hasil kemenangan 19-7 ke atas DKI Jakarta, manakala SJ26 meraih kejuaraan Shield selepas menewaskan MVPRC 12-5.
Johor Barbarian melengkapkan senarai juara kategori lelaki apabila menjulang trofi Spoon hasil kemenangan dominan 31-0 ke atas X King RC.
Dalam kategori wanita, DKI Jakarta muncul juara Plate selepas menewaskan Cattleya RC 12-10, manakala B.A.C Bears meraih kejuaraan Bowl dengan kemenangan tipis 12-10 ke atas UPM Angels.
Presiden Kesatuan Ragbi Johor (JRU), Datuk Mohd Noorazam Osman menyifatkan edisi kali ini sebagai antara yang terbaik dengan peningkatan jelas dari aspek kualiti permainan dan tahap persaingan.
Menurut beliau, penyertaan pasukan dari Malaysia, Singapura, Thailand dan Indonesia berjaya mengangkat standard kejohanan sekali gus mengukuhkan Johor 7s sebagai antara kejohanan ragbi tujuh sebelah paling berprestij di rantau ini.