KEADAAN padang di Stadium Nasional Bukit Jalil berada dalam keadaan terbaik dan dijangka mampu memberikan kualiti permainan yang menarik untuk final Piala FA antara Terengganu FC dan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada Sabtu.

Perkara ini didedahkan oleh Ketua Penyelia Padang JDT, Nigel Taylor kepada Flash Sukan ketika ditemui semasa sesi latihan rasmi pasukan JDT di stadium itu menjelang pertemuan final.

“Rumput dalam keadaan baik dan akan kekal berada dalam keadaan bagus sekiranya tidak berlaku hujan yang terlalu lebat. Ianya akan memberikan permainan yang baik buat kedua-dua pasukan,” katanya.

Nigel Taylor

Sejak Stadium Nasional diumumkan sebagai venue final, kerisauan melanda para penyokong kerana ramai yang sedia maklum akan keadaan padang stadium itu yang kurang memuaskan.

Ini terutama selepas aksi Kelayakan Piala Asia AFC yang berlangsung pada Jun lalu yang menyaksikan padang stadium terbesar negara ini mendapat kritikan selepas disifatkan tidak menepati piawaian untuk sebuah perlawanan antarabangsa.

Stadium Nasional Bukit Jalil akan membuat penggantian rumput kepada jenis Zeon Zoysia tahun hadapan selepas mendapat tajaan daripada pemilik JDT, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor.

JDT dan Terengganu FC mempunyai padang yang baik di stadium masing-masing dan kini keadaan padang di venue neutral ini bakal menjadi penentu tahap permainan yang akan diberikan oleh finalis kali ini.

Peminat bola sepak tempatan pastinya mahukan aksi terbaik dari kedua-dua pasukan dengan 80,000 penyokong dijangka membanjiri stadium dalam satu pertembungan epik merebut kejuaraan Piala FA dan layak ke Piala AFC tahun hadapan.