Norway’s forward #09 Erling Braut Haaland kicks the ball and scores his team’s second goal during the 2026 World Cup round of 16 football match between Brazil and Norway at the New York/New Jersey Stadium in East Rutherford on July 5, 2026. (Photo by Jewel SAMAD / AFP)
Norway mencipta sejarah tersendiri di pentas Piala Dunia apabila menyingkirkan juara lima kali, Brazil, menerusi kemenangan mengejut 2-1 pada aksi pusingan 16 terbaik, sekali gus melayakkan diri ke suku akhir buat kali pertama.
Bintang utama mereka, Erling Haaland, muncul watak penting apabila menjaringkan kedua-dua gol Norway, sekali gus memastikan impian negara Scandinavia itu terus bernyawa dalam kejohanan.
Selepas tamat perlawanan, Haaland mengakui kejayaan menewaskan gergasi bola sepak dunia itu jauh di luar jangkaannya, malah beliau sebelum ini hanya memasang impian untuk membawa Norway layak ke Piala Dunia.
“Saya sendiri sukar mempercayainya. Impian saya hanyalah untuk bermain di Piala Dunia bersama Norway dan membantu pasukan layak ke kejohanan ini. Saya tidak pernah menyangka kami mampu menewaskan Brazil. Sejujurnya, saya fikir ia mustahil, tetapi saya ternyata silap,” katanya.
Kemenangan tersebut turut mengekalkan rekod cemerlang Norway ke atas Brazil. Dalam lima pertemuan antara kedua-dua pasukan, Norway masih belum pernah tewas dengan mencatat tiga kemenangan dan dua keputusan seri.
Dua jaringan yang dihasilkan turut meletakkan Haaland sebagai antara penjaring terbanyak kejohanan dengan tujuh gol, menyamai pencapaian Lionel Messi dan Kylian Mbappé dalam perebutan Kasut Emas.
Penyerang berusia 25 tahun itu mengakui kejayaan tersebut sukar digambarkan kerana bukan sahaja membantu Norway melakar sejarah, malah menjadi detik paling bermakna dalam karier antarabangsanya.
“Sebagai pemain bola sepak, anda sentiasa mahu beraksi di Piala Dunia dan memberikan yang terbaik. Tetapi menjaringkan tujuh gol untuk Norway di pentas ini adalah sesuatu yang amat istimewa. Saya benar-benar kehilangan kata-kata. Ia terasa seperti mimpi,” katanya lagi.
Norway kini akan berdepan pemenang aksi antara Mexico dan England di Miami pada 11 Julai bagi menentukan slot ke separuh akhir, manakala Brazil pula tersingkir di pusingan 16 terbaik buat kali pertama sejak edisi 1990.