Kredit Gambar: Paul Ellis/AFP
Pengendali Sepanyol, Luis de la Fuente memuji kedalaman skuad yang dimilikinya selepas pemain simpanan sekali lagi memainkan peranan penting membantu La Roja menewaskan Belgium 2-1 pada aksi suku akhir Piala Dunia, sekali gus mengesahkan tempat ke separuh akhir.
Sepanyol bermula cemerlang apabila Fabian Ruiz, yang diberi kepercayaan menggantikan Pedri dalam kesebelasan utama, meletakkan pasukan di depan sebelum Belgium bangkit menyamakan kedudukan.
Namun, pertukaran dilakukan De la Fuente sekali lagi membuahkan hasil apabila Mikel Merino, yang dimasukkan pada penghujung permainan, muncul wira dengan menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-88 hasil bola muntah selepas penjaga gol Belgium, Senne Lammens, gagal menangkap kemas percubaan Pau Cubarsi.
Jaringan itu meneruskan reputasi Merino sebagai pemain gantian yang sering mencetus impak besar buat Sepanyol. Sebelum ini, pemain tengah itu turut meledak gol kemenangan ketika suku akhir Euro 2024 menentang Jerman serta aksi pusingan 16 terbaik Piala Dunia bertemu Portugal.
De la Fuente mengakui bukan mudah menentukan kesebelasan utama kerana hampir semua pemainnya layak diturunkan, namun beliau percaya setiap pemain memahami tanggungjawab masing-masing apabila diberi peluang.
“Agak tidak adil apabila Mikel tidak bermula dalam kesebelasan utama, tetapi ia juga tidak adil jika pemain lain diketepikan. Hanya 11 pemain boleh diturunkan dan mereka semua memahami peranan masing-masing. Apabila masuk ke padang, mereka tahu apa yang perlu dilakukan. Itulah sebabnya saya begitu bangga menjadi pengendali mereka,” katanya.
Menurut beliau, kejayaan Sepanyol di kejohanan kali ini bukan bergantung kepada seorang atau dua pemain, sebaliknya hasil sumbangan seluruh skuad yang sentiasa bersedia memberikan yang terbaik.
“Apa yang penting ialah pasukan. Tidak kira siapa yang bermula sebagai pemain utama. Semua pemain memainkan peranan penting, termasuk mereka yang tidak diturunkan,” katanya.
De la Fuente turut memuji profesionalisme pemain-pemainnya yang sentiasa menerima keputusan dengan matang meskipun persaingan merebut tempat dalam kesebelasan utama cukup sengit.
“Salah satu kekuatan kami ialah bukan sahaja memiliki pemain terbaik dunia, malah individu yang mempunyai sikap terbaik dan memudahkan semua orang bekerjasama. Mereka memahami peranan masing-masing dan pasukan ini menjadi contoh terbaik,” katanya.
Sepanyol kini hanya selangkah lagi untuk mara ke pentas final apabila dijadual berdepan Perancis pada aksi separuh akhir, Selasa depan.
Mengulas cabaran itu, De la Fuente menyifatkan Perancis sebagai lawan yang memiliki kualiti tinggi, namun percaya anak buahnya bersedia memberikan segala-galanya bagi memastikan impian menjulang trofi Piala Dunia terus hidup.