Japan’s forward #19 Koki Ogawa reacts to his team’s second goal during the 2026 World Cup Group F football match between the Netherlands and Japan at the Dallas Stadium in Arlington on June 14, 2026. (Photo by Aric Becker / AFP)
KETUA jurulatih Jepun, Hajime Moriyasu memuji karakter dan semangat juang dipamerkan anak buahnya selepas bangkit dua kali daripada ketinggalan untuk mengikat Belanda 2-2 dalam aksi pembukaan Kumpulan F Piala Dunia 2026.
Bagaimanapun, pengendali Samurai Biru itu mengakui beliau tetap kecewa kerana pasukannya gagal menukar persembahan bersemangat itu kepada tiga mata penuh.
Jepun memulakan perlawanan dengan disiplin tinggi di bahagian pertahanan sebelum aksi menjadi lebih terbuka pada babak kedua apabila empat gol berjaya dihasilkan kedua-dua pasukan.
Belanda terlebih dahulu memecah kebuntuan menerusi tandukan kapten pasukan, Virgil van Dijk pada minit ke-51 hasil hantaran Ryan Gravenberch.
Namun kelebihan itu hanya bertahan beberapa minit apabila Keito Nakamura menyamakan kedudukan menerusi rembatan rendah yang menewaskan penjaga gol Belanda.
Pasukan Eropah itu kembali mendahului menerusi jaringan menarik Crysencio Summerville pada pertengahan babak kedua dan dilihat berada di landasan terbaik untuk meraih kemenangan.
Namun Jepun sekali lagi mempamerkan ketabahan apabila pemain gantian, Koki Ogawa berjaya menyumbat gol penyamaan dua minit sebelum tamat perlawanan untuk memastikan kedua-dua pasukan berkongsi satu mata.
“Belanda adalah pasukan yang sangat kuat. Kami ketinggalan dan berdepan lawan yang sukar, tetapi pemain bersatu sebagai satu pasukan, berjuang hingga ke wisel penamat dan tidak pernah berputus asa.
“Sudah tentu kami tidak berpuas hati sepenuhnya dengan hanya satu mata hasil keputusan seri ini,” kata Moriyasu.
Menurut beliau, kemampuan pemain untuk kekal tenang dan terus berpegang kepada pelan permainan walaupun ketinggalan menjadi faktor utama kebangkitan Jepun dalam perlawanan tersebut.
“Memang sukar untuk bangkit semula selepas ketinggalan, tetapi pemain berjaya mengekalkan ketenangan, bersabar dan merebut peluang yang hadir.
“Saya sangat bangga kerana mereka mampu mengekalkan rentak permainan sendiri.
“Kami datang untuk mendapatkan tiga mata, bukannya satu mata. Dari sudut itu, keputusan ini sedikit mengecewakan,” katanya.
Keputusan itu meletakkan Jepun dan Belanda berkongsi satu mata dalam Kumpulan F, manakala Samurai Biru akan meneruskan cabaran menentang Tunisia dalam perlawanan kedua mereka.