Kuching City FC terus memperkukuhkan skuad menjelang saingan Liga Malaysia musim 2026/27 apabila berjaya mendapatkan penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT), Ajdin Mujagic secara pinjaman.

Pengumuman itu dibuat menerusi satu video yang dimuat naik di semua platform media sosial rasmi kelab, sekali gus mengesahkan penyerang kelahiran Bosnia tersebut akan menyarung jersi The Cats bagi menghadapi musim baharu.

Dalam kenyataan itu, Kuching City menyifatkan Mujagic sebagai penyerang yang memiliki naluri jaringan tinggi dan diyakini mampu memberikan impak besar di bahagian serangan.

“Seorang penjaring gol yang terbukti tiba dengan satu misi untuk memburu kemenangan, menakluk cabaran dan melakar sejarah bersama Kuching City FC. Selamat datang, Ajdin Mujagic,” menurut kenyataan kelab.

Perpindahan itu sekali gus mengesahkan spekulasi yang mengaitkan pemain berusia 27 tahun itu dengan Kuching City selepas JDT sebelum ini mengumumkan beliau akan dipinjamkan bagi musim 2026/27.

Kehadiran Mujagic dijangka menambah sengat jentera serangan pasukan bimbingan Aidil Sharin Sahak, yang sedang membentuk skuad lebih kompetitif bagi menghadapi cabaran domestik dan pentas Asia.

Bekas penyerang Sabah FC itu turut menjadi antara rekrut berprofil tinggi yang dibawa masuk Kuching City musim ini, menyertai beberapa pemain baharu termasuk Nazmi Faiz Mansor, Safawi Rasid, Dylan Wenzel-Halls, Irfan Zakaria dan pemain import Jepun, Kaishu Yamazaki.

Dengan kehadiran beberapa nama berpengalaman, Kuching City dilihat serius dalam usaha memperkuatkan pasukan bagi menghadapi saingan Liga Super serta kempen Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) musim 2026/27.