PDRM FC kurang pemain yang berkualiti tetapi mereka sangat bekerja keras untuk memenangi perlawanan menentang Selangor FC, kata jurulatihnya, Azzmi Aziz.

Azzmi memberitahu, semua pemainnya telah beraksi dengan baik apabila berjaya menghalang usaha Selangor FC daripada menembusi gawang gol sekaligus meraih kemenangan 1-0 dalam perlawanan Liga Super pada Sabtu.

“Syukur untuk kemenangan dengan pasukan yang sangat besar, kita tahu mereka sangat bagus serta konsisten kerana baru kalah dua perlawanan pada musim ini.

“Hari ini kita dapat peluang untuk gol walaupun tak banyak dan saya sangat berpuas hati dengan persembahan pemain yang bertahan dengan sangat baik.

“Buat masa sekarang, inilah pemain yang boleh tunjukkan kerana kita tahu PDRM kurang pemain yang berkualiti tetapi mereka sangat bekerja keras dan saya berharap pasukan ini akan lebih besar dan lebih ke depan,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Mengulas mengenai penjaga gol Mohamad Ramdhan yang beraksi cemerlang, Azzmi percaya pasukannya mempunyai kualiti pemain diposisi tersebut yang baik apabila berjaya menyelamatkan gawang gol mereka dari dibolosi Selangor FC.

 

Namun pada separuh masa kedua, Ramdhan dikeluarkan dari padang apabila mengalami kecederaan yang dikhuatiri daripada kecederaan yang lama dan Azzim berharap Ramdhan akan pulih sepenuhnya bagi bertemu dengan Sabah nanti.

Hasil kemenangan mengutip mata penuh menentang Selangor FC, PDRM FC kini mengumpulkan 16 mata dan berada di kedudukan ke-10 dalam Liga Super.