KEJOHANAN ragbi sekolah berprestij, VI Premier 10s bakal kembali mewarnai kalendar ragbi tanah air apabila edisi ke-15 dijadual berlangsung dari 31 Julai hingga 2 Ogos di Padang Victoria Institution (VI), Kuala Lumpur.
Dianjurkan oleh Victoria Institution Gallados Rugby Club (VIGRC), kejohanan tahun ini dijangka menjadi antara edisi terbesar dalam sejarah penganjurannya dengan penyertaan 48 pasukan, melibatkan 24 pasukan bawah 15 tahun (B-15) dan 24 pasukan bawah 17 tahun (B-17) dari seluruh negara.
Pengarah Kejohanan, Adri Mustaqim Amrul Hazarin berkata, VI Premier 10s komited untuk terus menyediakan platform pertandingan berkualiti tinggi bagi melahirkan lebih ramai bakat muda, di samping memperkukuhkan pembangunan ragbi sekolah di negara ini.
Sementara itu, Pengerusi VI Premier 10s, Nik Mohd Sidek Nik Jaafar menyifatkan sokongan berterusan daripada penaja dan rakan strategik sebagai bukti keyakinan mereka terhadap usaha memperkasakan sukan ragbi di peringkat akar umbi.
Menurutnya, kerjasama tersebut membolehkan penganjur terus meningkatkan kualiti kejohanan, selain memastikan legasi VI Premier 10s sebagai antara kejohanan ragbi sekolah paling berprestij di Malaysia terus dipertahankan.
Sejak diperkenalkan, VI Premier 10s telah menjadi platform penting dalam mencungkil bakat pemain muda yang kemudiannya mewakili sekolah, universiti, negeri dan Malaysia di pentas antarabangsa.
Orang ramai, peminat ragbi serta alumni Victoria Institution dijemput hadir menyaksikan kejohanan yang berlangsung dari 31 Julai hingga 2 Ogos, selain mengikuti perkembangan pertandingan menerusi platform media sosial dan siaran penstriman rasmi kejohanan.