KEJOHANAN ragbi berprestij, Johor 7s 2026 kembali memeriahkan kalendar sukan tanah air apabila edisi ke-9 bakal berlangsung di Stadium Ragbi Johor, Mount Austin dari 3 hingga 5 Julai ini.
Edisi kali ini dijangka lebih meriah dengan penyertaan 24 pasukan melibatkan 16 pasukan lelaki dan lapan pasukan wanita dari empat negara iaitu Malaysia, Singapura, Indonesia dan Thailand, sekali gus mengukuhkan reputasi Johor 7s sebagai antara kejohanan ragbi sevens paling kompetitif di rantau ini.
Bagi kategori lelaki, tumpuan terarah kepada juara bertahan Singapore Development yang hadir dengan misi mempertahankan kejuaraan. Mereka bakal dicabar beberapa pasukan pilihan termasuk Bunga Raya 7s Development serta wakil tuan rumah seperti Iskandar Raiders, Johor Barbarian, SSTMI Tsunami dan UTM Pirates.
Turut mencuri perhatian adalah kehadiran pasukan antarabangsa seperti DKI Jakarta dari Indonesia selain All For One dan Thaksin University dari Thailand yang dijangka memberi saingan sengit sepanjang kejohanan berlangsung.
Saingan kategori wanita juga tidak kurang menarik apabila pasukan dari Malaysia, Singapura dan Indonesia bakal bersaing merebut gelaran juara dalam kejohanan tiga hari itu.
Presiden Kesatuan Ragbi Johor, Datuk Mohd Noorazam Osman menyifatkan Johor 7s bukan sekadar kejohanan kompetitif, malah platform penting untuk memperkasakan pembangunan sukan ragbi di negeri Johor.
“Johor 7s bukan sekadar sebuah kejohanan ragbi tetapi platform penting untuk pembangunan sukan ini di peringkat akar umbi dan elit.
“Ia bukan sekadar sukan tetapi objektif utama kami adalah untuk merakyatkan sukan ragbi di negeri Johor,” katanya.
Beliau turut menegaskan penyertaan pasukan dari empat negara membuktikan Johor 7s terus berkembang sebagai kejohanan yang dihormati di rantau Asia Tenggara, selain menjadi pentas terbaik untuk menyaksikan aksi ragbi berkualiti tinggi.
Bagi edisi 2026, jumlah hadiah keseluruhan yang ditawarkan ialah RM12,000 dengan juara kategori lelaki membawa pulang RM5,000 manakala naib juara menerima RM2,500. Juara kategori wanita pula bakal meraih RM3,000 sementara naib juara membawa pulang RM1,500.