Kredit Gambar: Johor Southern Tigers

Kejayaan Johor Darul Ta’zim FC III (JDT III) meraih pingat emas acara bola sepak pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 menjadi bukti keberkesanan program pembangunan jangka panjang yang dilaksanakan Akademi JDT.

Pencapaian itu turut melengkapkan siri kejayaan akademi berkenaan yang terus mencatat keputusan cemerlang dalam pelbagai pertandingan bola sepak belia di peringkat domestik dan antarabangsa, daripada kategori Bawah-12 hingga kumpulan umur lebih tinggi.

JDT III kini muncul juara Piala Presiden Bawah-20 selama empat tahun berturut-turut sejak 2022, manakala JDT IV pula menjuarai Piala Belia Bawah-18 pada 2024 dan 2025. Kedua-dua pasukan turut mendahului saingan masing-masing bagi edisi 2026.

Ketua Pegawai Operasi dan Pengarah Teknikal JDT, Alistair Edwards, berkata pencapaian berterusan itu membuktikan program pembangunan yang dirancang sejak penubuhan JDT berada pada landasan tepat, selari dengan hasrat Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor.

Menurutnya, proses pembangunan turut diperkukuh menerusi kerjasama dengan kelab berprofil tinggi seperti Borussia Dortmund dan Valencia pada masa lalu, yang membantu JDT membina asas akademi secara lebih sistematik sehingga menjadi antara akademi bola sepak terkemuka di negara ini.

Pengarah Akademi JDT, Javi Jorda pula berkata pelaburan serta pembangunan yang dilakukan sejak beberapa tahun lalu kini mula membuahkan hasil, dengan kejayaan Piala Presiden, Piala Belia dan pingat emas SUKMA menjadi antara pencapaian utama yang membuktikan keberkesanan sistem pembangunan akademi.

Selain itu, pasukan-pasukan JDT di peringkat umur lebih rendah turut mencatat pelbagai kejayaan termasuk dalam MSSM, Piala Kementerian Pendidikan Malaysia, Singapore Youth League, LaLiga Youth Tournament, Supermokh Cup, Garuda International Cup, JSSL International serta pelbagai kejohanan antarabangsa lain.

Antara pencapaian terbaharu ialah kejayaan JDT Bawah-15 menjuarai JSE International Football Festival 2026, JDT Bawah-14 menjuarai Johor Cup Bawah-14 2026, manakala JDT Bawah-12 muncul juara KFAM International Youth Cup, JSE International Football Festival dan Johor Cup Bawah-12 2026.

Akademi JDT kini menjadi satu-satunya akademi kelab bola sepak profesional sepenuhnya di Malaysia yang mempunyai pasukan daripada kategori Bawah-12 hingga Bawah-23 tahun, selain menjadi satu-satunya kelab di negara ini yang memiliki Akreditasi AFC Dua Bintang bagi akademi bola sepaknya, mencerminkan komitmen JDT terhadap pembangunan bakat secara sistematik dan berterusan.