A view of FIFA World Cup™ Trophy during the FIFA World Cup™ Trophy Tour by Coca-Cola at United States Capitol Building on May 18, 2026 in Washington, DC. Paul Morigi/Getty Images for The Coca Cola Company/AFP (Photo by Paul Morigi / GETTY IMAGES NORTH AMERICA / Getty Images via AFP)
Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) mengesahkan pasukan bola sepak Iran memindahkan kem latihan mereka bagi Piala Dunia FIFA 2026 dari Amerika Syarikat ke Mexico susulan faktor keselamatan dan ketegangan geopolitik di Asia Barat.
Iran sebelum ini memilih Tucson, Arizona sebagai pangkalan pasukan sepanjang kejohanan, namun membuat permohonan rasmi untuk menukar lokasi selepas konflik melibatkan Iran, Amerika Syarikat dan Israel memuncak sejak beberapa bulan lalu.
Menerusi senarai rasmi kem latihan pasukan yang dikeluarkan FIFA, Iran kini akan menggunakan Centro Xoloitzcuintle di Tijuana, Mexico sebagai pusat persiapan mereka sepanjang kejohanan berlangsung.
Walaupun berlaku pertukaran kem latihan, jadual perlawanan Iran dalam saingan Kumpulan G kekal tidak berubah.
Iran dijadual membuka kempen menentang New Zealand di Los Angeles pada 15 Jun sebelum bertemu Belgium pada 21 Jun dan Egypt di Seattle pada 26 Jun.
Lokasi Tijuana yang terletak berhampiran sempadan Amerika Syarikat-Mexico dipercayai dapat membantu memudahkan urusan logistik serta kemasukan pasukan ke Amerika Syarikat untuk aksi perlawanan.
Presiden Persekutuan Bolasepak Iran, Mehdi Taj sebelum ini memaklumkan perpindahan tersebut sudah mendapat kelulusan rasmi FIFA selepas beberapa siri perbincangan bersama badan induk bola sepak dunia itu.
Beliau turut menjelaskan semua kem latihan pasukan bertanding perlu mendapat pengesahan FIFA sebelum digunakan sepanjang kejohanan.
Awal bulan ini, pegawai Iran turut memaklumkan pemain dan pegawai pasukan masih belum menerima visa Amerika Syarikat menjelang kejohanan berkenaan.
Piala Dunia 2026 yang dianjurkan bersama oleh United States, Mexico dan Canada dijadual berlangsung dari 11 Jun hingga 19 Julai tahun depan.