Kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) menafikan dakwaan yang tular di media sosial bahawa 91 peratus daripada hasil pendapatan kelab bagi tahun 2024 datang daripada sumber awam atau dana kerajaan.
Ketua Pegawai Operasi dan Pengarah Teknikal kelab, Alistair Edwards menjelaskan dakwaan tersebut tidak tepat, tidak berasas dan berpunca daripada salah tafsir terhadap fakta sebenar yang terkandung dalam laporan kewangan teraudit kelab.
Menurut beliau, walaupun dokumen kewangan JDT menyenaraikan Majlis Sukan Negeri Johor serta geran atau sumbangan kerajaan, perkara itu hanyalah sebahagian daripada prosedur operasi standard bagi penyaluran dana berkaitan sukan.
“Untuk rekod, adalah menjadi amalan biasa di Malaysia bahawa semua penajaan sukan daripada syarikat swasta yang merupakan sebahagian besar daripada 91 peratus yang didakwa dalam kes ini – disalurkan melalui Majlis Sukan (peringkat kebangsaan dan negeri) bagi tujuan pelepasan cukai kepada syarikat-syarikat berkenaan.
“Oleh itu, semua penaja-penaja swasta JDT juga menyalurkan dana penajaan melalui Majlis Sukan.
“Geran dan sumbangan kerajaan yang diberikan pula adalah khusus untuk pembangunan sukan di peringkat akar umbi, termasuk penganjuran kejohanan remaja serta program pembangunan akar umbi di semua daerah di Johor.
“Sebahagian besar dana ini disalurkan kepada Persatuan Bolasepak Negeri Johor dan juga persatuan bola sepak daerah bagi tujuan terbabit.
“JDT ingin menjelaskan bahawa tiada satu pun daripada geran ini digunakan untuk operasi bola sepak kelab, termasuk perbelanjaan pasukan utama, gaji kakitangan, operasi Akademi JDT mahupun penyelenggaraan aset kelab,” kata Alistair dalam satu kenyataan.

Pemangku Sultan Johor yang juga pemilik kelab, Tunku Ismail Sultan Ibrahim turut memberikan reaksi terhadap dakwaan berkenaan di laman media sosial X milik baginda.
Sementara itu, Pemangku Sultan Johor yang juga pemilik kelab, Tunku Ismail Sultan Ibrahim turut memberikan reaksi terhadap dakwaan berkenaan.
“Terlalu terdesak. Memang memalukan. Mereka tidak mampu bersaing, jadi mereka cuba sedaya upaya mencari pelbagai cara lain untuk memburukkan Kelab Bola Sepak Johor kami. Cuba lagi!” katanya menerusi komen pada kenyataan tersebut.
Kenyataan itu dikeluarkan bagi menjelaskan kekeliruan yang timbul susulan dakwaan di media sosial berkaitan sumber pendapatan kelab bagi tahun kewangan 2024.