Tiga jaringan pada babak kedua membantu Selangor FC membawa pulang tiga mata penuh dari Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin selepas menewaskan Terengganu FC 3-0 dalam aksi pusingan kedua Liga Super Malaysia, malam ini.
Kedua-dua pasukan hadir dengan keyakinan selepas masing-masing membuka kempen liga dengan kemenangan, namun Selangor tampil lebih berkesan dalam memanfaatkan peluang selepas perlawanan berlangsung sengit pada babak pertama. Terengganu turut menampilkan Ubaidullah Shamsul Fazili di bahagian pertahanan, manakala Selangor mengharapkan ketajaman Faisal Halim, Kay Tejan dan Chrigor Moraes di jentera serangan.
Tuan rumah yang dibimbing Nafuzi Zain hampir membuka jaringan menerusi beberapa percubaan berbahaya, termasuk usaha Gervane Kastaneer pada minit ke-37 dan penghujung babak pertama. Safuwan Baharudin turut hampir mencetuskan sorakan penyokong Terengganu, namun percubaannya pada minit ke-43 hanya menggegar palang gol Selangor.
Kastaneer sekali lagi menguji penjaga gol Selangor, Sikh Izhan Nazrel, sebaik sahaja permainan bersambung selepas rehat. Penjaga gol kebangsaan itu bagaimanapun tampil cemerlang untuk menafikan rembatan deras pemain Curacao berkenaan pada minit ke-49.
Selangor akhirnya memecah kebuntuan pada minit ke-59 apabila Kay Tejan melepaskan rembatan yang menewaskan Rahadiazli Rahalim untuk memberikan The Red Giants kelebihan 1-0. Gol tersebut menjadi jaringan pertama Tejan bersama Selangor dalam saingan liga musim ini selepas menyertai pasukan berkenaan.
Tidak lama kemudian, Selangor terus menghukum pertahanan Terengganu apabila Chrigor Moraes menggandakan kelebihan pada minit ke-63. Terengganu cuba bangkit dengan beberapa gerakan serangan, namun skuad kendalian Nafuzi gagal menemui penyudah yang diperlukan untuk merapatkan jurang.
Aksi turut dicemari insiden melibatkan Sikh Izhan yang mengalami perlanggaran kepala dengan pemain gantian Terengganu, Romel Morales. Selepas menerima rawatan di atas padang, penjaga gol itu kemudiannya dibawa ke hospital, dengan Azim Al Amin Kamaruddin mengambil alih tugas di gawang Selangor.
Selangor terus mengawal permainan sebelum Moraes melengkapkan kemenangan bergaya 3-0 menerusi jaringan ketiga pada penghujung perlawanan. Keputusan itu menyaksikan Terengganu terlepas peluang untuk mencatat kemenangan kedua di SSMZA, manakala Selangor meneruskan permulaan positif dalam kempen Liga Super.
Dalam satu lagi aksi Liga Super malam ini, Sabah FC meneruskan rentak kemenangan selepas menundukkan Penang FC 2-0 di laman sendiri. Gonzalo Ignacio Di Renzo membuka jaringan pada minit ke-40 sebelum Hanafie Tokyo menggandakan kelebihan Sabah pada minit ke-53 untuk memastikan tiga mata kekal di Kota Kinabalu.