Kredit Gambar: MSN Malaysia
PERSIAPAN skuad berbasikal trek negara ke Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 terus berjalan seperti dirancang meskipun status penyertaan Datuk Mohd Azizulhasni Awang masih belum dimuktamadkan.
Ketua Jurulatih skuad berbasikal trek kebangsaan, Harnizam Basri, berkata pihaknya sentiasa mempunyai pelan alternatif sekiranya pelumba berusia 38 tahun itu tidak dapat bersama pasukan pada temasya yang dijadualkan berlangsung dari 19 September hingga 4 Oktober depan.
Menurutnya, setakat ini tiada keputusan rasmi diterima daripada Azizulhasni berhubung kedudukannya bersama skuad negara, sekali gus memberi ruang kepada pihak kejurulatihan untuk menilai beberapa kemungkinan.
“Pelan B memang sentiasa ada. Kita tengoklah dari semasa ke semasa. Setakat ini dia pun belum beri kata putus apa-apa,” kata Harnizam ketika ditemui pada sesi lawatan Timbalan Ketua Kontinjen ke venue sukan berbasikal trek di Velodrom Nasional, hari ini.
Harnizam bagaimanapun masih mengharapkan pemenang pingat emas Sukan Komanwel Glasgow 2026 itu dapat meneruskan persiapan bersama pasukan seperti yang telah dirancang. Beliau berkata sekiranya Azizulhasni tidak dapat menyertai skuad, pelumba lain perlu bersedia memikul tanggungjawab lebih besar.
Dalam masa sama, Azizulhasni masih berada dalam perancangan untuk menyertai kem latihan skuad negara di Brisbane, Australia selama tiga minggu yang dijadualkan bermula Isnin depan. Bagaimanapun, Harnizam memaklumkan tiket perjalanan sudah dikeluarkan dan pihaknya masih belum mengetahui sama ada pelumba itu akan menarik diri pada saat akhir.
Harnizam turut mengakui bahawa kehadiran Azizulhasni amat penting kepada pasukan, bukan sahaja kerana pengalaman serta keupayaannya di trek, tetapi juga peranan beliau dalam membantu membimbing pelumba-pelumba muda.
“Kita memang mahu dia sebab dia boleh bimbing adik-adik dalam pasukan. Memang kita mahu dia berada dalam pasukan, tetapi pada masa sama dia juga ada isu yang perlu diuruskan dan kita tidak tahu bagaimana keadaannya,” katanya.
Beliau berkata Azizulhasni kali terakhir berhubung dengannya pada malam sebelumnya, manakala pelumba yang dikenali dengan jolokan The Pocket Rocketman itu kini berada di Melbourne bersama keluarganya. Harnizam turut berpandangan bahawa semua pihak sememangnya mahu Azizulhasni terus beraksi selagi kemampuannya masih ada.
Sebelum ini, Pengarah Teknikal skuad berbasikal trek negara, John Beasley, dilaporkan memberi bayangan bahawa Azizulhasni mungkin tidak menyertai kem latihan di Brisbane serta Kejohanan Dunia di Shanghai sebelum membuat keputusan mengenai masa depannya, termasuk kemungkinan menuju Sukan Olimpik Los Angeles 2028.
Di Sukan Asia Aichi-Nagoya nanti, Malaysia dijadualkan bersaing dalam acara pecut individu, keirin dan pecut berpasukan lelaki serta wanita, selain acara kriterium lelaki dengan seramai 10 pelumba disenaraikan termasuk Azizulhasni.