Skuad hoki remaja lelaki negara, Young Tigers meneruskan rentak kemenangan dalam Piala Sultan Johor (SOJC) 2026 selepas menewaskan Jepun 4-2 dalam aksi kedua kejohanan, malam ini.
Kemenangan kedua berturut-turut itu hadir menerusi kebangkitan hebat pada penghujung perlawanan apabila skuad kendalian Nor Saiful Zaini Nasiruddin meledak tiga gol dalam tempoh 10 minit terakhir untuk memastikan kemenangan berpihak kepada Malaysia.
Jepun terlebih dahulu membuka jaringan menerusi Matsuki Mori pada minit ke-19 melalui jaringan padang, sebelum Malaysia menyamakan kedudukan hasil pukulan strok penalti Muhd Hafiezuddin Mohd Ali pada minit ke-27.
Bagaimanapun, Jepun kembali mendahului pada minit ke-43 menerusi Rintaro Sakai selepas memanfaatkan serangan balas susulan kehilangan bola oleh Malaysia.
Penjaga gol Jepun, Kazato Baba, turut menjadi penghalang buat Young Tigers apabila beberapa percubaan berbahaya Malaysia berjaya dinafikannya sepanjang tiga suku pertama perlawanan.
Namun, tekanan berterusan Malaysia akhirnya membuahkan hasil apabila Aferull Syah menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-51 untuk mengikat kedudukan 2-2.
Momentum itu dimanfaatkan sepenuhnya oleh Young Tigers apabila Naaveenesh Panicker meledak gol padang pada minit ke-56 sebelum Dheeresh Gunaseelan menambah jaringan menerusi pukulan sudut penalti pada minit sama untuk melebarkan kelebihan kepada 4-2.
Dua jaringan pantas itu memastikan Malaysia menamatkan perlawanan dengan kemenangan, sekali gus mengutip tiga mata berharga dalam usaha meneruskan cabaran pada kejohanan berkenaan.
Kejayaan menundukkan Jepun turut mengukuhkan permulaan positif Young Tigers selepas mereka membuka kempen dengan kemenangan 3-0 ke atas China.
Tumpuan kini terarah kepada aksi seterusnya menentang Pakistan esok jam 7.35 malam bagi meneruskan momentum dan memburu kedudukan terbaik dalam SOJC 2026.