FOTO : Asian Hockey Federation

KETUA Jurulatih skuad Hoki 5s lelaki kebangsaan, Wallace Tan menyifatkan perlawanan dengan Oman tempat ke-3/ke-4 bukan satu perlawanan yang mudah dan mengakui mereka telah melakukan kesilapan.

Malaysian Tigers menamatkan kempen dikedudukan keempat selepas tewas 4-5 kepada tuan rumah, Oman dalam perlawanan terakhir di Salalah pada Sabtu.

“Pertandingan kelayakan Piala Dunia bagi zon Asia selalunya merupakan pertandingan yang sukar kerana semua pasukan memberikan saingan yang hebat. Namun apa yang penting misi utama iaitu layak ke Piala Dunia telah tercapai.

“Kejohanan ini juga adalah proses pembelajaran untuk sesetengah pemain kerana Hoki 5s merupakan sesuatu yang baru buat mereka dan permainan Hoki 5s adalah berbeza dengan hoki padang biasa yang menggunakan 11 pemain,” katanya.

Empat gol Malaysia yang terhasil merupakan dua jaringan daripada Mohamad Kamarulzaman Kamaruddin pada minit ketujuh dan ke-22 sementara dua lagi gol masing-masing menerusi Muhammad Muhibuddin Moharam pada minit ke-11 dan Mohamad Akhimullah Anuar Esok pada minit ke-26.

Dalam pada itu, lima gol yang dihasilkan pasukan Oman merupakan gol yang disumbangkan oleh Aiman Madit pada minit keenam dan ke-19, Khalid Al Shaaibi pada minit ke-11 dan ke-24 serta gol kemenangan mereka dijaringkan oleh Rashad Al Fazari pada minit ke-29.

ARTIKEL  BERKAITAN : Hoki Piala Asia 5’s : Malaysian Tigers ke Piala Dunia hoki 5s lelaki 2024

“Kami gembira kerana layak ke Piala Dunia Hoki 5s edisi pertama dan berharap kejayaan layak ke Piala Dunia ini akan meningkatkan lagi motivasi pemain untuk berlatih dengan lebih gigih lagi sebagai persediaan ke Piala Dunia,

“Secara keseluruhan, pasukan telah menunjukkan peningkatan namun masih terdapat ruang yang perlu ditambah baik lagi,” jelasnya.