EKSKLUSIF
SKUAD remaja yang menggalas cabaran di Piala Dunia Remaja, Disember ini, adalah aset penting kepada legasi hoki negara.
Namun, pemain yang berada dalam skuad itu perlu menunjukkan komitmen dan keinginan besar untuk berjaya, untuk menempatkan diri mereka dalam skuad senior lebih awal, bagi memastikan taraf hoki senior kebangsaan kekal di peringkat tertatas dunia.
Ketua jurulatih remaja lelaki kebangsaan, Muhammad Amin Rahim berkata, sememangnya skuad remaja menjadi aset penting kepada mana-mana negara kerana mereka inilah yang menjadi pelapis yang akan menggantikan pemain senior sedia ada.

Muhammad Faris Harizan, antara tonggak skuad remaja yang sudah mula jalani latihan bersama skuad senior kebangsaan.
“Saya harap lebih ramai pemain saya berada dalam skuad senior… tetapi itu hanya akan berlaku sekiranya pemain mempunyai kemahuan untuk mencabat apa yang mereka ada, dan perlu lebih jauh dalam hoki.
“Dari segi potensi,banyak tetapi bergantung kepada pemain seberapa besar kemahuan mereka,” kata Amin, ditemui FLASH SUKAN.
Melihatkan perjalanan skuad remaja kebangsaan yang mentah pengalaman di peringkat antarabangsa, ketika peringkat awal dikumpul tahun lalu, banyak kemajuan telah dicapai pemain yang diketuai Muhammad Faris Harizan selaku kapten.

Jurulatih skuad hoki remaja lelaki kebangsaan, Muhammad Amin Rahim tidak gusar dengan persiapan skuad negara ke Piala Dunia Remaja, Disember ini.
“Sekarang kita ada empat pemain daripada skuad ini berada dalam senarai panjang pasukan senior sebagai long list attachment.
“Justeru saya harap lebih ramai lagi dipanggil dan terpilih kerana kita mahukan ada kesinambungan daripada skuad remaja kepada senior sekali gus transisi pemain dalam skuad utama negara beralih dengan baik pada kualiti yang setaraf kekal.”
Ketika ini, empat pemain, Alfarico Lance Liau Jr, Faris, Shahmie Irfan Suhaimi dan Amirul Haniff Mamat berada dalam senarai panjang skuad senior kebangsaan dan sering menjalani latihan bersama.

Pemain yang berada dalam skuad remaja kebangsaan perlu menunjukkan kesungguhan tinggi untuk menempatkan diri dalam skuad senior.
Amin mengakui, tahap kualiti pasukan bimbingannya dengan skuad A.Arulselvaraj ketara berbeza: “Level kualiti mungkin kelihatan dekat, tetapi apabila bersaing di pentas antarabangsa nampak sangat perbezaan, tempo dan kualiti pula jauh berbeza, hoki sekarang lebih kepada speed and power.
“Melihatkan prestasi terkini, skuad ini boleh menjadi pelapis cuma mereka (pemain) perlu tahu berapa besar kemahuan mereka.”
Dalam pada itu, Amin berkata, tidak semua pemain remaja menyerlahkan kemampuan diri mereka di peringkat usia ini kerana ada pemain yang akan matang agak lewat.

Razie Rahim (kanan) kini berusia 36 tahun, dijangka bersara dari skuad kebangsaan tiga hingga empat tahun akan datang.

Marhan Jalil sudah mencecah usia 33 tahun.
“Seperti Razie (Muhammad Razie Rahim), dia tidak pernah beraksi di Piala Dunia Remaja tetapi kini dia antara pemain utama dalam skuad senior, lambat naik.
“Sama sepperti sekarang, di peringkat remaja kita mempunyai banyak pemain hoki (kuantiti) namun kita mencari yang berkualiti,” ujar Amin lagi.

Firhan Ashari (kanan) kini berusia 30 tahun.

Faizal Saari sudah mencecah usia 33 tahun.

Fitri Saari sudah berusia 30 tahun.

Faiz Helmi Jali (kiri), sudah berusia 31 tahun.
Sementara itu, Amin berkata, dia menjangkakan sekurang-kurangnya 10 pemain dalam skuad senior kebangsaan akan bersara dalam tempoh empat tahun akan datang.
Justeru, skuad remaja dibimbingnya kini, adalah aset penting buat hoki negara.
Antara pemain yang dijangka meninggalkan skuad kebangsaan dalam tempoh tiga hingga empat tahun akan datang termasuk Razie, Marhan Jalil, Firhan Ashaari, Faizal Saari, Fitri Saari, Faiz Helmi Abdul Jalil dan penjaga gol Muhammad Hafizuddin Othman.