PASUKAN hoki remaja wanita Malaysia memulakan kempen Piala Remaja Wanita Asia 2024 dengan langkah kanan apabila mencatat kemenangan meyakinkan 3-0 ke atas Thailand dalam aksi pembukaan Kumpulan A di Stadium Hoki Al-Amarat, petang Sabtu.
Gol Malaysia hadir menerusi pukulan sudut penalti, dengan Nurshamine Azureen Mohammed Badusha membuka jaringan seawal minit ke-9, diikuti Nur Syahirah Azwan pada minit ke-31, dan Nor Zulaikha Nazihah Tamjit menyempurnakan kemenangan pada minit ke-54.
Penampilan pertama Nur Syahirah sebagai pemain kebangsaan turut menjadi perhatian apabila beliau dinobatkan sebagai Player of the Match, membuktikan impak besar walaupun bermain di posisi pertahanan.
Walaupun kemenangan ini memberi suntikan motivasi kepada pasukan, Ketua Jurulatih Malaysia, Lailin Abu Hassan, mengakui masih banyak ruang untuk diperbaiki.
“Secara keseluruhan, saya agak tidak puas hati dengan prestasi pemain hari ini.
“Walaupun menang, banyak peluang dari pukulan sudut penalti tidak dimanfaatkan dengan baik, sama ada untuk jaringan atau hantaran berkualiti,” katanya selepas perlawanan.
Lailin menekankan kepentingan fokus untuk aksi seterusnya, lebih-lebih lagi menentang India yang dianggap salah satu pasukan pilihan dalam kejohanan ini.
“Esok kita ada satu hari rehat, dan saya telah merancang latihan serta sesi analisis video.
“Kita perlu bersedia dengan pelan terperinci untuk menyekat serangan mereka dan memastikan pasukan bermain mengikut perancangan,” tambah beliau.
Kemenangan ini merupakan permulaan positif buat skuad negara, namun cabaran sebenar menanti apabila mereka bertemu India dalam perlawanan kedua Kumpulan A.
Persiapan mental dan taktikal bakal menjadi kunci untuk pasukan muda ini mencipta keputusan yang lebih cemerlang di peringkat Asia.