MELAKA Titans mengesahkan kemaraan ke suku akhir Grand Prix (GP) Melaka selepas menewaskan juara GP Penang, Perak Bison menerusi kemenangan 2-1 dalam aksi Kumpulan A malam ini.
Beraksi sengit selama 72 minit, Melaka Titans mencatat kemenangan dengan keputusan 15-12, 11-15 dan 15-12 untuk memastikan mereka terus bersaing dalam perebutan kejuaraan GP Melaka.
Pertembungan tersebut turut menyajikan aksi menarik antara dua tekong bertaraf dunia, Syahir Rosdi yang mewakili Melaka Titans dan Pornthep Tinbangbon dari Perak Bison.
Sementara itu, PDRM Defenders turut menghidupkan peluang ke suku akhir selepas menewaskan Bomba Fighters 2-0 dalam aksi Kumpulan B yang berlangsung selama 58 minit.
Juara GP Perak itu bagaimanapun terpaksa bekerja keras sebelum mengesahkan kemenangan 15-7 dan 17-15 sekali gus kembali mencatat kemenangan selepas tewas 1-2 kepada Negeri Sembilan Antlers semalam.
Namun, peluang PDRM Defenders untuk mara masih bergantung kepada keputusan pertemuan antara Negeri Sembilan Antlers dan Bomba Fighters esok apabila mereka memerlukan kemenangan pasukan Negeri Sembilan bagi membuka laluan ke suku akhir.
Dalam pada itu, Perak Bison akan berdepan Penang Black Panthers esok dalam aksi penentuan Kumpulan A dengan kemenangan menjadi buruan bagi memastikan peluang mereka untuk melangkah ke suku akhir GP Melaka terus terpelihara.