Imigresen FC II sah menarik diri daripada saingan Liga A1 Semi-Pro 2026/2027 selepas mengharungi lapan perlawanan, sekali gus menyebabkan perubahan kepada perjalanan liga yang kini berbaki 13 pasukan.
Keputusan itu dimaklumkan menerusi surat rasmi yang dihantar kepada Amateur Football League (AFL) pada 18 November lalu, sebelum pihak liga mengesahkan penarikan diri berkenaan pada 20 November.
AFL memaklumkan beberapa siri perbincangan telah diadakan bagi mencari jalan penyelesaian, namun pengurusan Imigresen FC II tetap dengan keputusan untuk meninggalkan saingan musim ini.
Susulan perkembangan itu, AFL mengambil keputusan membatalkan semua keputusan perlawanan yang membabitkan Imigresen FC II, dengan keseluruhan mata dan jaringan yang direkodkan sebelum ini dianggap tidak sah.
Semua perlawanan yang telah dan bakal dijadualkan melibatkan pasukan berkenaan turut dibatalkan, namun perjalanan Liga A1 Semi-Pro 2026/2027 akan diteruskan mengikut perancangan asal.
Lebih serius, Imigresen FC II dikenakan penggantungan daripada menyertai mana-mana pertandingan anjuran AFL selama dua musim, iaitu 2026/2027 dan 2027/2028, selain denda sebanyak RM50,000.
Pengerusi AFL, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi berkata, hukuman yang diputuskan dalam mesyuarat hari ini lebih berat berbanding tindakan terhadap pasukan yang pernah menarik diri daripada pertandingan sebelum ini.
Beliau menjelaskan tindakan tegas itu bertujuan menjadi peringatan kepada semua pasukan supaya lebih bertanggungjawab, bersedia dan mematuhi peraturan pertandingan bagi memastikan kelancaran serta integriti liga terus terpelihara.
“Kita tidak mahu perkara yang sama lagi berlaku di masa akan datang dan mencemarkan reputasi Liga A1 yang kini mendapat perhatian sebilangan besar peminat bola sepak tanah air,” katanya.
Dengan penarikan diri Imigresen FC II, sebanyak 13 pasukan akan meneruskan perebutan kejuaraan Liga A1 Semi-Pro 2026/2027, dengan baki 16 minggu perlawanan sebelum tirai musim dilabuhkan pada Mei tahun depan.