Persembahan cemerlang Richard Chin ketika membantu Harimau Malaya menewaskan Yemen 2-1 dalam aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 mendapat pujian daripada pengendali interim negara, Tan Cheng Hoe.
Malah, Cheng Hoe melihat pemain sayap kelab Scotland, Ross County itu sebagai antara aset penting yang mampu memberikan pilihan tambahan kepada pasukan kebangsaan dalam menghadapi cabaran akan datang.
Penilaian itu dibuat selepas Richard mempamerkan aksi meyakinkan dalam dua perlawanan persahabatan menentang China dan Yemen, termasuk meledak dua gol ketika membantu Malaysia meraih kemenangan di Stadium Zhaoqing New District Sports Centre, hari ini.
Menurut Cheng Hoe, keupayaan pemain muda berkenaan beraksi di kedua-dua bahagian sayap menjadi satu kelebihan buat Harimau Malaya, khususnya dalam merencanakan pendekatan taktikal pasukan.
“Kalau kita lihat prestasi Richard dalam dua perlawanan terakhir menentang China dan Yemen, ia memberikan gambaran jelas bahawa beliau adalah sebahagian daripada aset pasukan.
“Beliau bukan sahaja boleh bermain di bahagian sayap kanan, malah mampu beraksi di sebelah kiri. Itu tentunya satu kelebihan buat pasukan negara,” katanya selepas perlawanan.
Selain kebolehan bermain di beberapa posisi, Cheng Hoe turut percaya usia Richard yang masih muda membuka ruang untuk pemain itu terus memperbaiki kualiti permainannya.
“Lebih penting, Richard masih muda dan mempunyai ruang yang cukup luas untuk terus berkembang, sama ada dari segi prestasi mahupun aspek taktikal serta kemampuan individunya,” katanya.
Dua jaringan ketika menentang Yemen juga membawa makna tersendiri buat Richard apabila dia berjaya membuka akaun gol bersama Harimau Malaya di pentas antarabangsa.
Perkembangan positif itu pastinya memberikan pilihan tambahan kepada Cheng Hoe ketika menilai barisan pemain yang mampu menyumbang kepada kekuatan skuad kebangsaan pada masa akan datang.