KETUA Pegawai Eksekutif (CEO), Selangor FC, Dr. Johan Kamal Hamidon menyambut baik seandainya pemain skuad Gergasi Merah dipanggil menyertai skuad Bawah 23 Tahun kebangsaan dalam temasya dwitahunan Sukan SEA Kemboja 2023 Mei ini.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan pelepasan tersebut bakal diberikan kepada pemain simpanan atau pemain yang kurang mendapat minit permainan dan bukanlah pemain tonggak buat pasukan Selangor FC.

Keputusan tersebut diambil kira kerana Gergasi Merah turut memiliki sasaran tersendiri dalam kempen Liga Malaysia kali ini dan perlukan skuad yang kukuh untuk bersaing dalam kempen liga musim ini.

“Selangor FC memang bersedia dan berbesar hati menghantar pemain kita untuk mewakili negara kita.

“Sudah tentu pada Sukan SEA, skuad Bawah 23 tahun, ia satu peluang untuk kita beri pendedahan kepada pemain Selangor dan kita akan pertimbangkan untuk hantar.

“Tetapi sekiranya pemain tersebut merupakan kesebelasan utama di Selangor FC di Liga Super, bermain 90 minit setiap minggu, mungkin kita tidak dapat hantar.

“Tetapi jika pemain tersebut berada di bangku simpanan dan tidak mendapatkan minit permainan, kita terbuka untuk hantar mereka kerana mereka dapat memberi sumbangan kepada negara dan mendapatkan minit permainan.

“Tetapi untuk pemain tonggak, ia agak sukar kerana Selangor FC juga mempunyai aspirasi untuk memberi cabaran dalam kancah Liga Malaysia.

“Kita juga merasakan kancah Liga Super merupakan platform yang baik untuk pemain muda mendapat pendedahan kerana ia merupakan tahap yang lebih tinggi berbanding Sukan SEA yang lebih menekankan pemain bawah umur,” ujarnya ketika ditemui Majlis Menandatangani Kerjasama antara Selangor FC dan AEON Big di Wangsa Maju.

Terdahulu, kerjasama dua hala tersebut akan memberi manfaat kepada aspek nutrisi pemain Selangor FC dengan tajaan penuh segala sumber pemakanan dan nutrisi pemain yang bakal ditaja AEON Big.

“Kerjasama kita dengan AEON BIG, kita bermula dengan barangan yang kita akan guna pakai untuk pemain Selangor FC. Seperti yang semua tahu, nutrisi merupakan suatu aspek yang penting kepada sukan elit pada masa moden ini.

“Barangan yang disediakan dari AEON Big sangat berkualiti dan dapat menyediakan nutrisi yang baik kepada pemain Selangor,” jelas Dr. Johan.