Kredit Gambar: Jade Gao/AFP
Malaysia berpeluang membawa pulang dua gelaran pada Terbuka Hong Kong apabila beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M. Thinaah, dan beregu lelaki Man Wei Chong-Tee Kai Wun masing-masing melangkah ke final kejohanan berkenaan.
Pearly-Thinaah memastikan tiket ke perlawanan akhir menjadi milik mereka selepas menewaskan rakan senegara, Low Zi Yu-Noraqilah Maisarah Ramdan, dalam aksi separuh akhir di Kai Tak Arena, hari ini.
Pasangan ranking keempat dunia itu tidak berdepan masalah besar untuk menundukkan Zi Yu-Noraqilah, yang berada di tangga ke-41 dunia, menerusi kemenangan straight set 21-13, 21-19.
Kemenangan itu turut menyaksikan Pearly-Thinaah semakin hampir menambah koleksi kejuaraan musim ini selepas sebelum ini menjuarai Masters Indonesia dan Terbuka Denmark.
Mereka yang pernah menjuarai Terbuka Hong Kong edisi 2024 kini akan berdepan pasangan Jepun, Sumire Nakade-Miyu Takahashi, yang menghuni ranking ke-11 dunia dalam aksi final bagi menentukan juara.
Dalam pada itu, Wei Chong-Kai Wun turut membawa cabaran negara ke final beregu lelaki selepas mengesahkan kemaraan lebih awal, sekali gus membuka peluang Malaysia untuk meraih dua kejuaraan di Hong Kong.
Pasangan ranking kesembilan dunia itu bakal berdepan beregu Indonesia, Leo Rolly Carnando-Daniel Marthin, yang berada di ranking ke-18 dunia dalam perebutan gelaran.
Wei Chong-Kai Wun kini turut mengintai kejuaraan Jelajah Dunia kedua mereka musim ini, manakala Pearly-Thinaah berpeluang menambah satu lagi trofi selepas kejayaan di Indonesia dan Denmark.