PEMAIN beregu campuran negara, Hoo Pang Ron, menegaskan tiada langsung niat untuk berpisah dengan gandingannya Cheng Su Yin meskipun prestasi mereka ketika ini agak mengecewakan.
Menurut Pang Ron, keutamaan mereka ketika ini adalah memperbaiki kelemahan serta mengekalkan gandingan sedia ada demi mengejar sasaran jangka masa sederhana — menembusi kelompok 10 terbaik dunia.
“Kami tahu permainan kami sudah dapat dibaca lawan sejak kejayaan ke final China Masters tahun lalu. Sekarang fokus kami adalah pelbagaikan strategi dan kuatkan mental,” katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara.
Pasangan ranking ke-14 dunia itu mula digandingkan sejak November 2023, namun selepas kemunculan mengejut di pentas final China Masters, prestasi mereka semakin merudum termasuk terkandas di pusingan pertama Kejohanan Badminton Asia minggu lalu.
Bagaimanapun, mereka tetap diberi kepercayaan menyertai skuad negara ke Piala Sudirman 2025 di Xiamen, bersama dua lagi gandingan — Goh Soon Huat–Shevon Lai Jemie dan Chen Tang Jie–Toh Ee Wei.
“Kami tak pernah fikir untuk berpisah. Kami akan terus bersama dan duduk berbincang dengan jurulatih Nova (Widianto) untuk cari jalan keluar. Target top 10 masih boleh dicapai,” tegasnya.
Pang Ron bakal membuat penampilan ketiganya di kejohanan berpasukan campuran itu, manakala Su Yin akan merasai pentas Piala Sudirman buat kali pertama apabila Malaysia turun bertemu Jepun, Perancis dan Australia dalam saingan Kumpulan C bermula 27 April ini.