PEMAIN perseorangan nombor satu negara Lee Zii Jia giat melakukan persiapan rapi menjelang Terbuka Denmark dan Terbuka Perancis bulan depan, merancang menjalani latihan bersama pemain nombor satu dan tiga dunia.
Perancangan latihan bersama Viktor Axelsen dan Anders Antonsen itu bagaimanapun masih dalam rundingan.
Zii Jia berkata, latihan bersama itu diharap dapat membantunya mempamerkan aksi terbaik di dua kejohanan terbabit.
“Saya kemungkinan besar akan jalani latihan bersama Axelsen dan Antonsen , jadi untuk itu saya akan bertolak ke Odense seminggu lebih awal.
“Belum ada pengesahan tapi kami sedang usahakan, selain itu saya akan jalani latihan bersama kelab di sana,” katanya, ditemui selepas menjalani latihan di Sports Arena Sentosa, Petaling Jaya pada Sabtu.
Mengulas mengenai sasaran di dua kejohanan berstatus Super750 itu, Zii Jia berkata, dia tidak meletakkan sebarang sasaran, hanya mahu memberikan yang terbaik.
Yang saya pasti akan sertai adalah Terbuka Denmark dan Perancis, selepas itu bergantung kepada keputusan di dua kejohanan itu, sama ada saya akan sertai Hylo Open (Jerman) dan Terbuka Australia, lihat dulu prestasi saya di Denmark dan Perancis
Pemain terbabit mengakui, dia dalam fasa memperkuatkan mentalnya kerana sedar prestasinya sebelum ini, mampu menang ke atas mana-mana pemain dan juga boleh kalah kepada mana-mana pemain.
Terbuka Denmark bermula18-23 Oktober manakala Terbuka Perancis bermula 25-30 Oktober depan.
Mengulas mengenai usaha Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang mahu berkerjasama rapat dengan pemain-pemain profesional, Zii Jia menyambut baik usaha itu yang disifatkan sesuatu yang positif.

Mengulas mengenai perkara itu, kakaknya yang juga pengurus peribadi, Lee Zii Yii berkata, pihaknya mahu melihat dahulu apa perancangan BAM.
“Mereka yang bangkitkan isu ini, we can’t say anything, depend on their proposal.
“So far, kami cukup dan bukan teruk sangat. Di sini bukan isu cukup atau tidak cukup tetapi kami fokus kepada prestasi dan kondisi Zii Jia,” kata Zii Yii.
Selaku pemain professional, Zii Jia dibantu dua pemain remaja Ter Chun Long dan Tan Choong Yen selain Liew Darren menjadi rakan sparring merangkap penolong jurulatih.
Untuk rekod, Zii Jia dilatih jurulatih dari Indonesia Indra Widjaja yang pernah mewakili negaranya, seangkatan Hariyanto Arbi dan Ardy Wiranata.