Kredit Gambar: TRDI/ Urus Setia Penerangan Darul Iman
Malaysia mencipta kejayaan membanggakan di pentas antarabangsa apabila Ahmad Harun muncul juara acara 70 meter pada Kejohanan Traditional Archery World Cup 2026 di Ulsan, Korea Selatan baru-baru ini, sekali gus membawa pulang pingat emas buat negara.
Lebih menarik, kejayaan itu dilakar Ahmad ketika berusia 56 tahun selepas menewaskan pemanah Mongolia, Ganzorig Bat-Erdene dalam aksi final bagi acara berkenaan.
Atlet dari Kampung Temala Hilir, Pengkalan Berangan, Terengganu itu membuktikan faktor usia bukan penghalang untuk terus bersaing di peringkat tertinggi, meskipun beliau hanya mula berjinak-jinak dengan sukan memanah kira-kira 10 tahun lalu.
Malah, kejohanan di Korea Selatan itu merupakan penampilan ketiganya dalam pertandingan di luar negara selepas mula menceburi sukan berkenaan dengan membeli busur secara dalam talian.
Selain emas menerusi Ahmad, Malaysia turut menambah koleksi pingat apabila Surianti Umar menyumbang gangsa dalam acara 90 meter pada kejohanan yang berlangsung dari 30 Oktober hingga 4 November itu.
Jurulatih negara, Dr Muhammad Akram Adnan menyifatkan pencapaian tersebut sebagai hasil persediaan rapi serta semangat berpasukan yang menjadi asas kepada pembangunan atlet sepanjang sesi latihan.
“Kita pentingkan kerja berpasukan. Kerana kita sedar bahawa sekiranya tidak ada semangat berpasukan, sukar untuk kita mencapai apa yang kita telah lihat pada hari ini,” katanya seperti dilaporkan oleh Berita RTM.
Beliau turut mendedahkan bahawa pasukan telah menjalani tiga sesi simulasi sepanjang tahun ini sebagai sebahagian daripada persiapan menghadapi kejohanan berkenaan.
“Sepanjang tahun ini juga kita telah melakukan tiga kali simulasi,” katanya.
Dalam pada itu, Dr Muhammad Akram berharap lebih banyak pihak termasuk sektor swasta, korporat dan badan sukan tampil memberikan sokongan bagi membantu pembangunan sukan memanah serta meningkatkan kemampuan atlet negara.
Sementara itu, Ahmad Harun menyifatkan persediaan latihan yang mencukupi serta sokongan daripada pelbagai pihak sebagai antara faktor penting yang membantunya mencapai kejayaan di Korea Selatan.
“Yang pertamanya kita telah datang jauh dalam hati kita, kita mesti melakukan sesuatu untuk memastikan dapat membawa kejayaan,” katanya.