SKUAD Penang FC mendapat tamparan hebat menjelang aksi pembukaan Piala Malaysia 2022 apabila pemain tengah antarabangsa, Hilal El-Helwe menamatkan kontraknya secara persetujuan bersama dengan pengurusan kelab.

Menerusi hantaran yang dibuat di laman sosial rasmi kelab, Hilal tidak akan bersama-sama skuad The Panthers untuk menghadapi Piala Malaysia dengan perlawanan pertama dijadualkan bertemu Kuching City FC.

“Pemain import Penang FC dari Lubnan Hilal El-Helwe telah mencapai persetujuan dengan Kelab untuk menamatkan kontraknya atas dasar persetujuan bersama dan tidak akan bersama pasukan dalam saingan TM Piala Malaysia 2022 yang telah dijadualkan bermula minggu depan.

“Dengan rasa dukacita, Pengurusan mendoakan yang terbaik untuk kerjayanya di masa hadapan dan keberkatan buat keluarga,” menurut kenyataan rasmi itu.

Sejak menyertai Penang FC pada awal musim, Hilal telah melakukan 19 penampilan dalam Liga Super dan berjaya menjaringkan lima gol dan dilihat dapat membentuk gandingan yang mantap bersama pemain penyerang, Lucas Silva.

Selain itu, Hilal juga berjaya membantu Penang FC layak ke peringkat separuh akhir Piala FA sebelum tewas kepada Johor Darul Ta’zim dengan menjaringkan empat gol dari tiga penampilan.

Ketiadaan Hilal ini pastinya akan mengganggu perancangan skuad kendalian Manzoor Azwira dengan Piala Malaysia musim ini menawarkan satu tiket ke Piala AFC 2023.