KONTINJEN negara tampil pada majlis perarakan memperkenal negara bertanding pada Pembukaan Rasmi Sukan Olimpik Paris 2024, dengan menggayakan busana ‘The Malaya’ berwarna hijau zaitun bermotifkan keemasan rekaan pereka fesyen terkemuka, Rizman Ruzaini.
Perarakan kontinjen negara itu diwakili dua pembawa bendera Bertrand Rhodict Lises (terjun) dan Nur Shazrin Mohamad Latif (pelayaran), Nur Dhabitah Sabru (terjun), Khairulnizam Mohd Afendy (pelayaran), Ashley Lau (golf) dan Tan Rouxin (renang) berada di atas bot yang sama, bersama kontinjen Malawi dan Maldives.

Kontinjen Olimpik Paris negara berkongsi bot bersama wakil dari Malawi dan Maldives pada perarakan Pembukaan Rasmi Sukan Olimpik Paris 2024 di Sungai Seine. | FOTO MSN
Atlet wanita mengenakan baju kurung songket berkelubung ketika atlet lelaki berbaju Melayu Teluk Belanga, sekali gus menterjemahkan imej perpaduan rakyat Malaysia yang berbilang kaum.
Turun menyertai perarakan kontinjen negara di sepanajng enam kilometer Sungai Seine, Chef de Mission (CDM) Datuk Hamidin Mohd Amin dan timbalannya, Datuk Nicol David, ketua perubatan kontinjen Dr Jazmiza Khuzairi Jasme dan Ang Li Pei (pegawai keselamatan Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

Tiga pemanah wanita negara, sudah memulakan aksi pada pusingan penentuan ranking, Khamis lalu. | FOTO MOM
Perarakan itu berlatar belakangkan monumen bersejarah Kota Paris.
Kontinjen negara diwakili 26 atlet pada temasya kali ini, dengan beberapa atlet sudah berpengalaman beraksi di pentas temasya sukan terbesar dunia itu.
Sebanyak 85 bot pelbagai saiz membawa 112 wakil kontinjen negara bertanding.

Khiew Hoe Yean akan beraksi dalam acara 400m gaya bebas, hari ini. | FOTO MOM
Hadir menyaksikan pembukaan rasmi itu, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim; Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria dan Setiausaha Agongnya, Datuk Mohd Nazifuddin Najib.

Aaron Chia-Soh Wooi Yik membuka cabaran Olimpik menentang pasangan Great Britain hari ini. | FOTO MOM
Skuad memanah wanita menjadi atlet pertama negara yang sudah memulakan perjuangan di Paris dua hari lalu dan hari ini bakal menyaksikan tiga beregu badminton negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik (beregu lelaki), Pearly Tan-M Thinaah (beregu wanita) dan Chen Tang jie-Toh Ee Wei (beregu campuran) turun ke gelanggang di Porte de La Chappelle.

Pearly Tan-M Thinaah akan membuka saingan kumpulan A menentang pilihan utama dari China. | FOTO MOM

Chen Tang Jie-Toh Ee Wei membuka saingan kumpulan D menentang pasangan Singapura. | FOTO MOM
Sementara penembak negara, Jonathan Wong akan beraksi dalam acara 10 meter (m) Air Pistol di Chateauroux dan Khiew Hoe Yean pula akan beraksi di Paris La Defense Arena dalam acara saringan 400m gaya bebas.