THAILAND begitu teliti dan memberi tumpuan terhadap aksi bertemu Malaysia dalam aksi ketiga Kumpulan A, Piala Mitsubishi Electric ASEAN 2024 pada Sabtu.
Pengendali Gajah Perang, Masatada Ishii menekankan betapa mereka mahukan sesuatu untuk perlawanan pertama mereka di gelanggang sendiri dalam kejohanan ini.
Selepas perlawanan tempat lawan yang mencabar menentang Timor Leste, Ishii menyoroti kelebihan mempunyai semua 26 pemain yang tersedia, yang memberi lebih pilihan dan fleksibiliti dalam pasukan.
“Dengan mempunyai semua 26 pemain, kami dapat membuat persiapan yang lebih baik. Ekanit Panya dan Supachai Sarachat menyertai kami kemudian, tetapi kami telah merancang untuk pelbagai senario. Semua pemain mampu tampil apabila diperlukan,” kata Ishii.

Pemain Thailand menjalani latihan akhir di Stadium Rajamangala, Bangkok hari ini.
Menyedari ketidaktentuan dalam bola sepak, Ishii menegaskan bahawa walaupun analisis permainan adalah penting, situasi sebenar di atas padang sering berbeza.
“Kami menganalisis gaya permainan Malaysia, tetapi perlawanan sebenar boleh berbeza. Apa yang paling penting adalah bagaimana pemain menyesuaikan diri dan melaksanakan taktik kami di padang,” jelas Ishii.
Perlawanan akan berlangsung malam esok di Stadium Rajamangala. Kedua-dua pasukan sedang bersaing untuk mendapatkan mata penting dalam Kumpulan A, dengan Thailand berharap untuk memanfaatkan kelebihan bermain di gelanggang sendiri sementara Malaysia berusaha untuk mengukuhkan permulaan cemerlang mereka dalam kejohanan ini.
Kredit Foto: FA Thailand