GELARAN pasukan terbaik Asia Tenggara terpaksa dikongsi oleh Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Buriram United apabila kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan dalam aksi keenam Liga Juara-Juara AFC Elite di Stadium Sultan Ibrahim.
Aksi dua jaguh Asean itu bagaimanapun dicemari insiden kekasaran yang menyaksikan JDT terpaksa bermain dengan sembilan pemain apabila Murilo Santos dan Park Jun-heong dibuang padang manakala Buriram beraksi dengan 10 orang selepas Theerathon Bunmathan dilayangkan kad merah.
Hector Bidoglio melakukan perubahan dalam kesebelasan utama dengan Bergson Da Silva diberikan peluang untuk mengetuai serangan menggantikan tempat Jorge Obregon yang kurang menyerlah pada perlawanan terdahulu.
Bagaimanapun JDT dikejutkan dengan layangan kad merah kepada Murilo Santos selepas dia didapati bersalah menafikan peluang gol Buriram United menerusi Dion Cools namun sepakan percuma Theerathon Bunmathan tidak melepasi benteng.
Meskipun bermain dengan 10 pemain, corak permainan JDT tidak berubah dan dapat menyerap asakan yang dilakukan lawan dengan pengadil seringkali menghentikan perlawanan akibat beberapa kekasaran yang dilakukan pemain kedua-dua pasukan.
Pengadil dari Arab Saudi itu sekali lagi menjadi tumpuan lebih 31 ribu penyokong apabila menjadikan Theerathon pula sebagai mangsa kad merah selepas video bantuan pengadil (VAR) mendapati ada kekasaran yang tidak sepatutnya dilakukan kapten itu.
Perlawanan kembali seimbang pada babak kedua dengan JDT lebih banyak menguasai permainan namun masih buntu sambil Buriram sesekali menyerang menerusi serangan balas namun dipatahkan barisan pertahanan.
JDT hampir dihadapan menerusi Bergson pada minit ke-62 namun penjaga gol Buriram United, Neil Etheridge berjaya menahan bola di atas garisan gol sebelum rembatan Arif Aiman berjaya dihalang Curtis Good.
Bidoglio melakukan pertukaran pemain dengan Jorge Obregon dan Heberty Fernandes dibawa masuk menggantikan Bergson dan Juan Muniz untuk merubah taktikal JDT di kala ramai pemain yang kelihatan semakin keletihan.
Pertukaran itu bagaimanapun masih tidak berjaya menjelmakan jaringan dan kedudukan 0-0 kekal hingga tamat perlawanan untuk kedua-dua pasukan terpaksa berpuas hati dengan satu mata.
Hasil keputusan seri ini, JDT kini ditangga keenam peringkat liga Zon Timur manakala Buriram United ditangga kelapan dengan masing-masing mengumpul lapan mata selepas tamat enam perlawanan.