KEMBALINYA semula tiga pemain utama Sabah FC yang beraksi bersama pasukan kebangsaan memberi khabar gembira menjelang pertemuan suku akhir pertama Piala Malaysia menentang Kuching City FCdi Stadium Negeri, Kuching pada Ahad.
Ketua Jurulatih Sabah FC, Martin Stano menjelaskan kehadiran Stuart Wilkin, Dominic Tan dan Daniel Ting sudah tentu akan meningkatkan kualiti, memberikan keseimbangan serta semangat berpasukan untuk mencapai keputusan positif di Kuching.
Keputusan memanggil semula pemain-pemain ini adalah perjanjian awal melibatkan Sabah FC bersama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebelum mereka dilepaskan untuk tugasan bersama pasukan kebangsaan.

Dominic Tan antara pemain kebangsaan yang dipanggil semula ke Sabah untuk pertemuan penting bertemu Kuching City FC.
“Sudah tentu kami sangat gembira dengan keputusan ini dan lebih membanggakan apabila ketua pasukan, Park Tae-su sudah boleh beraksi pada perlawanan ini.
“Kami akan melakukan yang terbaik untuk mencipta kemenangan dan walaupun kami menang dalam perlawanan Liga Super di Kuching minggu lalu, kali ini ia akan menjadi permainan yang berbeza dalam saingan Piala Malaysia,” katanya.
Martin dalam perlawanan pertamanya sebagai ketua jurulatih The Rhinos, turut menjelaskan bahawa dia akan meneruskan pendekatan sedia ada dan mahu pemain fokus dan menghormati lawan sepanjang perlawanan.

Martin Stano mahu pemainnya kekal fokus pada aksi pertamanya sebagai ketua jurulatih Sabah FC
“Untuk terus mencapai matlamat kami, dalam setiap perlawanan pemain perlu mengekalkan konsistensi, pendekatan profesional, mentaliti kemenangan disamping berfikiran positif.
“Pada masa yang sama, kami sangat prihatin tentang keadaan fizikal beberapa pemain yang telah mengalami kecederaan selepas bermain pada dua perlawanan untuk membantu pasukan kebangsaan,” jelasnya.
Sabah FC pastinya mahu mengulangi pencapaian di Kuching ketika aksi Liga Super minggu lalu untuk membawa bekalan selesa sebelum kembali pada perlawanan kedua di Likas minggu hadapan.