PRESIDEN baharu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Joehari Ayub akan menetapkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) kepada semua Ahli Jawatankuasa Eksekutif yang baharu bagi memastikan persatuan itu sentiasa berada di landasan yang tepat.
Joehari turut mengakui tugas sukar menanti dirinya selepas mengambil alih kempimpinan daripada Tan Sri Hamidin Mohd Amin, namun bertekad untuk memastikan kesinambungan serta penambahbaikan dalam struktur FAM.
“KPI akan sentiasa dipantau dan diperhalusi. Matlamat kita adalah untuk mencapai standard tertinggi dalam semua aspek, dari pembangunan pemain hingga ke pengurusan liga.
“Saya mengambil alih tugas ini daripada seorang presiden yang mempunyai pencapaian amat tinggi. Saya serta dua timbalan dan barisan exco akan memastikan bola sepak Malaysia terus berkembang ke tahap yang lebih baik.” katanya pada sidang media selepas tamat Kongres FAM ke-61.

Bekas Naib Presiden FAM itu juga pada masa yang sama turut menekankan kepentingan kestabilan dalam kepimpinan, di mana pelan pembangunan yang telah dirancang sebelum ini akan dikaji semula bagi memastikan keberkesanan.
“Program F:30 adalah sesuatu yang telah dilakukan dan kita tidak boleh mengetepikannya begitu sahaja. Namun, kita juga perlu melihat kepada perspektif baharu dan menyesuaikan program mengikut keperluan semasa,” jelasnya.
Sementara itu, selain fokus pada pasukan bola sepak lelaki, Joehari berkata bola sepak wanita akan terus menjadi fokus utama FAM kerana ianya menjadi sebahagian daripada kepentingan dalam badan induk itu.
“Bola sepak wanita bukan sekadar tuntutan FIFA, tetapi ia penting untuk pembangunan sukan secara inklusif. Kita akan teruskan program-program sedia ada dan memperkenalkan inisiatif baharu untuk memacu prestasi pasukan wanita,” katanya.
Dalam pemilihan Exco FAM Bagi Penggal 2025-2029 pada Kongres FAM ke-61, Joehari berjaya menang tanpa bertanding untuk jawatan sebagai Presiden.