SELEPAS mengucapkan selamat tinggal kepada Leicester City selepas 13 musim penuh kenangan, nama Jamie Vardy kini menjadi buah mulut peminat bola sepak tempatan, dikhabarkan dua kelab terbesar Liga Malaysia sedang cuba memancing legenda England itu ke pentas Asia Tenggara!

Pengumuman rasmi Leicester pada Rabu lalu mengesahkan penyerang berusia 38 tahun itu akan meninggalkan kelab yang disertainya sejak 2012, dengan status sebagai “pemain terbaik dalam sejarah kelab”.

Dengan 198 gol dalam hampir 500 penampilan dan memori manis menjulang kejuaraan Liga Perdana Inggeris musim 2015/16, Vardy bukan sekadar legenda Foxes, tetapi simbol kejayaan luar jangka dalam bola sepak moden.

Menurut sumber terdekat Flash Sukan, dua pasukan gergasi Liga Malaysia telah menunjukkan minat awal untuk membawa Vardy ke kancah Liga Super musim hadapan.

Pengalaman, aura bintang dan nilai komersial Vardy dijangka mampu melonjakkan imej serta prestasi pasukan, selain memberi impak besar kepada pembangunan penyerang tempatan.

Ketika Vardy sendiri mengakui dalam video perpisahan di media sosial bahawa beliau “gutted” untuk meninggalkan kelab tetapi percaya “ini adalah masa yang tepat”, spekulasi mengenai destinasi seterusnya mula membara — dan Asia Tenggara mungkin menjadi pelabuhan terakhir karier gemilangnya.

Adakah Jamie Vardy bakal menyarung jersi Liga Malaysia dan mencipta satu lagi kisah bola sepak di rantau ini?

Nantikan perkembangan lanjut yang dijangka mencuri tumpuan jendela perpindahan tidak lama lagi.