TIADA yuran penyertaan, tiada syarat luar biasa – hanya semangat untuk sihat dan terus aktif.
Itulah pendekatan diambil Al-Ikhsan Sports yang merancang penganjuran “Al-Ikhsan Run”, acara larian berskala nasional yang tidak berorientasikan keuntungan, sebaliknya mahu mengangkat semangat kesukanan dalam kalangan rakyat Malaysia.
Larian ini dijangka menggegarkan arena sukan tempatan apabila membuka penyertaan kepada semua peringkat usia dan kemampuan, sejajar kempen nasional terbaharu mereka, “For Everyday Athletes”, yang kini menjadi simbol gerakan rakyat dalam memupuk gaya hidup sihat dan aktif.
Ketua Pegawai Eksekutif Al-Ikhsan Sports, Datuk Hishammudin Hasan berkata, larian ini bukan sekadar program, sebaliknya satu usaha membina komuniti sihat tanpa mengira latar belakang atau kelajuan larian seseorang.
“Kita tak fikir semuanya harus berdasarkan model perniagaan. Ini untuk rakyat Malaysia. Tak kira umur, tak kira kelajuan, kita berlari dan lakukan sesuatu demi kesihatan,” katanya, ditemui selepas melancarkan kempen For Everyday Athletes di butik terbaharu mereka di Elmina Lakeside Mall.

Lebih menarik, walaupun tanpa yuran penyertaan, peserta tetap berpeluang membawa pulang hadiah menarik dan menikmati pelbagai aktiviti sampingan termasuk klinik larian, bola sepak dan gaya hidup yang turut dianjurkan secara percuma setiap bulan.
Dengan kekuatan 187 cawangan fizikal dan tiga platform digital di seluruh Semenanjung, Al-Ikhsan terus melangkah lebih jauh sebagai penggerak gaya hidup sihat rakyat – bukan lagi sekadar penjual barangan sukan.
“Setiap orang dialu-alukan. Anda, saya, semua boleh bersama dalam program ini. Kita mulakan sesuatu yang sihat, dari rakyat untuk rakyat,” katanya lagi, menegaskan inisiatif ini lebih kepada menyemai semangat kebersamaan berbanding pulangan komersial.