JANGAN terlalu negatif terhadap tekanan dan perlu percaya pada kemampuan diri.
Demikian nasihat Pengarah Kejurulatihan Perseorangan, Akademi Badminton Malaysia (ABM), Kenneth Jonassen yang mahu setiap pemain menyedari peranan masing-masing dalam saingan acara berpasukan dalam kempen Piala Sudirman 2025.
Kem negara tiba di Xiamen, China, semalam, mula menguji gelanggang kejohanan, Fenghuang Gimnasium pagi ini.
“Bermain dalam acara berpasukan dan indvidu, berbeza intensitinya. Dalam acara berpasukan, intensiti lebih tinggi dalam acara berpasukan, perlu ada momentum dan berkemampuan mempertahankan mata.
“Kita sudah melakukan persiapan intensiti di ABM, dan di China pula kita akan tumpukan kepada keyakinan diri pemain,” kata Jonassen, menerusi perkongsian video oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM) di laman Facebook rasminya.
Katanya setiap pemain yang telah dipilih menyertai pasukan hendaklah percaya bahawa mereka sememangnya layak mewakili Malaysia termasuklah pemilihan Leong Jun Hao sebagai kapten bersama dengan Pearly Tan, sebagai keputusan bijak.
“Tekanan perlu ada kerana menerusi tekananlah kita boleh mencapai keputusan yang bagus.”
Malaysia diundi dalam kumpulan C bersama pasukan pilihan Jepun, Perancis dan Australia pada kempen Piala Sudirman 2025 yang akan berlangsung dari 27 April hingga 4 Mei itu.
Skuad negara akan membuka saingan menentang PErancis pada 28 April, diikuti melawan Australia pada 29 April dan Jepun pada 1 Mei.